KUALA LANGAT: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran tiga buah rumah dekat Jalan Nuri, Kampung Seri Cheeding, Banting, di sini, awal pagi tadi.
Kanak-kanak lelaki itu ditemukan dalam bilik utama dalam salah sebuah rumah selepas kebakaran berjaya dikawal.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.56 pagi sebelum menggerakan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan KLIA.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan tiga buah rumah bangunan Kelas B berkeluasan 255 kaki persegi seunit. Setiap unit terbakar sebanyak 90 peratus.
“Maklumat awal diterima menyatakan terdapat seorang mangsa kanak-kanak berumur tiga tahun terperangkap di dalam rumah. Kerja-kerja pemadaman dan menyelamat mangsa dijalankan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 3.30 pagi dan kanak-kanak tersebut ditemukan pada pukul 4.15 pagi. – UTUSAN










