SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya 12 stesen pemantau aras air di Sungai Bernam, Sungai Klang, Sungai Rasau, Sungai Damansara, Sungai Kayu Ara, Sungai Bakul dan Sungai Langat berada berada di paras bahaya.
Kesemua stesen berkenaan melaporkan paras air didakwa melebihi antara 0.03 hingga 0.38 meter (m) melebihi paras bahaya susulan hujan lebat sejak petang semalam.
Malah, stesen pemantauan hujan di Ladang Elmina, Kuala Selangor merekodkan bacaan hujan 30.5 milimeter (mm) dalam tempoh satu jam sehingga pukul 8.45 pagi tadi.
Sementara itu, Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor melaporkan jumlah mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat daripada 51 kepada 59 orang sehingga pukul 9.01 pagi tadi.
Seramai 45 mangsa terdiri daripada 13 keluarga termasuk lapan kanak-kanak dan lima bayi ditempatkan di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar.
Di Dewan Seri Sekinchan, pula seramai 14 mangsa terdiri daripada lima keluarga termasuk enam kanak-kanak di tempatkan di PPS berkenaan.
Secara kumulatif sebanyak 18 keluarga dipindahkan ke dua PPS termasuk 10 warga emas dan empat orang kurang upaya. – UTUSAN










