SHAH ALAM: Jumlah mangsa banjir di Selangor dilapor mencecah 2,700 orang iaitu kedua tertinggi selepas Kelantan yang mencatat 9,931 yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Sehingga awal pagi tadi, di negeri ini sebanyak 19 PPS di buka di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Shah Alam dan Hulu Langat.
Berdasarkan maklumat Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuala Selangor mencatatkan jumlah mangsa tertinggi ditempatkan di empat PPS iaitu seramai 1,081 orang melibatkan 268 keluarga di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman, Ijok (949); SK Rantau Panjang, Ijok (85) dan SK Bukit Kerayong, Jeram (25).
Satu lagi PPS iaitu di Pusat Perkhidmatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jaya Setia, Bestari Jaya yang menempatkan 22 mangsa banjir.
Walaupun paras air di lembangan sungai-sungai utama di negeri ini mencatatkan penurunan, namun beberapa daerah di Selangor mencatatkan peningkatan mangsa dipindahkan ke tiga PPS seperti Shah Alam (Petaling) seramai 576 orang.
Turut, menunjukkan peningkatan jumlah mangsa di Hulu Langat apabila lima PPS dibuka dengan menempatkan 265 orang melibatkan 71 keluarga di SK Sungai Serai, Sekolah Menengah Kebangsaan Dusun Nanding, Kompleks Penghulu Batu 10, Kajang, Sekolah Rendah Agama (SRA) Dusun Nanding dan Balairaya Kampung Melaka Batu Sembilan.
Di Klang pula seramai 630 mangsa dipindahkan ke empat PPS iaitu di SK Sungai Binjai, Meru (212); Dewan Kemuning Utama (148); Dewan MBSA Jati Kampung Sungai Kandis (137) dan Dewan Bakawali Seksyen 35 (133).
Sementara itu, menurut Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, enam stesen pemantau di lembangan sungai seluruh seluruh negeri masih mencatatkan paras bahaya seperti Pintu Air Ijok (Sungai Buloh), 4.11 meter (m), Bukit Changgang, Kuala Langat (Sungai Langat) 4.9m dan Jambatan SKC, Hulu Selangor (Sungai Selangor) 19.59m.
Di Klang, tiga stesen pemantau di daerah itu mencatatkan paras bahaya sejak semalam iaitu di Pekan Meru (Sungai Binjai) 4.58m, Taman Desa Kemuning dan Kampung Lombong (Sungai Klang) 4.18m.
Utusan Malaysia malam tadi melaporkan jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 2,000 orang dan peningkatannya dilihat mendadak dalam tempoh 12 jam susulan hujan berterusan sejak petang kelmarin.
Malah, sekurang-kurangnya empat jalan utama di sekitar ibu negeri ditutup iaitu Jalan Seksyen 19, Seksyen 24 menghala ke Seksyen 23, Persiaran Jubli Perak dan Persiaran Perusahaan.
Bagaimanapun, kesemua jalan kembali dibuka apabila air mulai surut sejak malam tadi.
Hujan berterusan dan lebat sejak kelmarin itu turut menyebabkan laluan di Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE) di persimpangan Plaza Tol Shah Alam (Bukit Jelutong) hampir terputus akibat dilimpahi air bah. – UTUSAN










