Tujuh terbabit kemalangan di Bukit Cherakah, enam cedera

Tujuh terbabit kemalangan di Bukit Cherakah, enam cedera

Kemalangan Bukit Cherakah
TANGKAP layar menunjukkan sebuah lori tanah di sebelah kiri dari arah Kampung Bukit Cherakah Jaya, gagal berhenti di lampu merah ketika turun bukit menghala ke persimpangan dekat Jalan Meru Tambahan, di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tujuh mangsa terlibat dalam kemalangan dekat persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Cherakah menghala ke Jalan Seri Jaya yang membabitkan empat kenderaan termasuk lori tanah dan lori sampah, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Pemangku Superintendan, Mohd. Rahimi Zainol berkata, bagaimanapun enam daripada mereka mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Shah Alam, Hospital Puncak Alam dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menerima rawatan.

“Mangsa yang dirawat di Hospital Shah Alam mengalami patah kaki kiri,” katanya kepada pemberita, semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, empat individu termasuk seorang pemandu lori sampah mengalami kecederaan selepas dirempuh sebuah lori pembawa tanah dekat persimpangan Jalan Meru Tambahan dan Kampung Bukit Cherakah Jaya.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian tersebut melibatkan empat buah kenderaan termasuk dua Perodua Myvi di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Mohd. Rahimi berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian kira-kira pukul 857 pagi itu berpunca daripada sebuah lori yang membawa muatan tanah hilang kawalan ketika menuruni bukit.

“Lori terbabit menggelongsor ke kanan sebelum melanggar ketiga-tiga kenderaan yang berada di kanan. Kesemua mangsa terlibat adalah tujuh orang, satu daripadanya tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu lori, lelaki warga tempatan berusia 35 tahun hanya mengalami cedera ringan. Dia dibawa ke balai  trafik. Kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian kemalangan tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Surihan di talian 013-2082327.

“Atau tampil ke mana-mana balai polis yang berhampiran. Orang awam juga dinasihatkan agar memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan bersama,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN