SABAK BERNAM: Rumah Bangsa menjadi peluang terbaik untuk menyatukan parti Melayu dan mengekalkan kuasa menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, usaha itu penting bagi memastikan kekuatan politik Melayu terus terpelihara dan mengelak perpecahan yang melemahkan pengaruh dalam pentadbiran negara.
Katanya, perpaduan kaum Melayu kini berada pada tahap kritikal apabila ancaman perpecahan dalaman berpotensi melemahkan kuasa politik.
“Perjuangan orang Melayu umpama telur di hujung tanduk dan jika kita tidak bersatu, kuasa boleh hilang.
“Rumah Bangsa adalah peluang menyatukan kembali parti-parti Melayu dan memastikan dominasi politik Melayu dikekalkan,” katanya ketika ditemui pada Program Sinar Ramadan, semalam.
Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keterbukaan pintu Rumah Bangsa seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dikenakan tindakan disiplin untuk kembali bersama parti itu.
Pintu penyatuan tanpa syarat itu dibuka kepada yang pernah dipecat atau digantung termasuk mana-mana individu yang ingin bersama semula dengan perjuangan UMNO.
Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu akan menyelaraskan proses berkenaan mengikut tatacara bersesuaian berdasarkan Perlembagaan parti.
Menurut Mohd. Razlan, masyarakat Melayu perlu mengambil iktibar beberapa negara lain yang menyaksikan kuasa politik bangsa pribumi semakin terhakis sama ada singkat atau panjang.
“Situasi itu tidak mustahil berlaku jika kita terus berpecah dan terlalu selesa dengan jumlah umat Islam di negara ini yang dianggarkan mencecah 60 peratus.
“Jangan anggap peratusan itu terlalu besar kerana bila-bila masa sahaja kita boleh kehilangan kuasa jika kita tidak melihat perkara ini dengan serius,” ujarnya.
“Jika parti-parti Melayu yang besar dapat disatukan, saya percaya kita boleh mendominasi semula kuasa politik di dalam negara ini demi memastikan kepentingan orang Melayu terus terpelihara,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha penyatuan politik perlu disambut dengan sikap terbuka oleh semua pihak bagi memastikan kekuatan UMNO dan parti Melayu terus kekal relevan dalam menentukan hala tuju negara. – UTUSAN










