SHAH ALAM: Pas Selangor mengekalkan pendirian dan tidak berganjak dalam memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) negeri ini walaupun menyedari krisis berkaitan kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kekal sebagai peneraju blok pembangkang di Selangor.
Katanya, Pas Selangor bersikap neutral dan tidak memihak kepada mana-mana individu dalam krisis kepemimpinan yang berlaku.
“Kita tak memihak kepada mana-mana individu, Pas Selangor dengan Bersatu sangat rapat. Tiada masalah. Kami teguh.
“Pas Selangor juga tidak ambil (sokongan) mana-mana kem. Kita tak campur apa yang berlaku (dalam Bersatu),” katanya, ketika ditemui di majlis berbuka puasa, semalam.
Bagaimanapun, ADUN Paya Jaras itu berkata, segala urusan berkaitan kerjasama parti yang mengasaskan gabungan PN itu dipandu kepimpinan pusat kedua-dua parti.
Mengulas cadangan sayap Pemuda Pas yang mahu mencalonkan beliau sebagai pengerusi PN Selangor, Ab. Halim menjelaskan, proses itu dibuat sepenuhnya kepimpinan tertinggi gabungan.
Menurutnya, pihaknya juga tidak menamakan mana-mana individu bagi mengisi kekosongan jawatan pengerusi PN negeri selepas Mohamed Azmin meletakkan jawatannya pada Januari lalu. – UTUSAN










