SHAH ALAM: Nurul Syazwani Noh meletakkan jawatan Ketua Penerangan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta merta.
Perletakan jawatan berkenaan dibuat susulan penggantungan ketua sayap wanita parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, semalam.
Nurul Syazwani berkata, jawatan yang disandangnya itu merupakan lantikan di bawah kepemimpinan Mas Ermieyati, justeru adalah wajar baginya turut melepaskan jawatan berkenaan.
“Sehubungan dengan perkembangan terkini yang menyaksikan beliau digantung daripada jawatan tersebut, saya merasakan adalah lebih wajar dan berprinsip untuk saya juga melepaskan jawatan yang diamanahkan kepada saya,” katanya kepada pemberita, semalam.
Malah, beliau mengakui kecewa dengan perkembangan terkini di dalam Bersatu, kerana, parti yang sepatutnya menjadi wadah perjuangan bersama kini dilihat sedang melalui fasa mencabar dari sudut kestabilan kepimpinan dan kesatuan dalaman.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang itu, perkembangan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada struktur kepimpinan Srikandi, malah turut menimbulkan persepsi kurang meyakinkan dalam kalangan akar umbi serta rakyat yang memerhati perjalanan parti.
Jelas Nurul Syazwani, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila wakil rakyat yang dipilih serta diberikan mandat oleh rakyat turut dikenakan tindakan pemecatan dan penggantungan.
Semalam, Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dilapor digantung keahlian parti selama dua penggal kerana melanggar perlembagaan dan kod tatakelakuan.
Susulan tindakan tersebut, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi dilantik memangku jawatan Ketua Srikandi Bersatu yang baharu. – UTUSAN










