SHAH ALAM: Polis selesai meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung siasatan kes pelajar tingkatan tiga yang terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam, pada minggu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, bagaimanapun polis masih dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke pendakwa raya bagi tindakan selanjutnya.
Menurutnya, polis sudah pun merakam percakapan daripada ramai individu bagi membantu siasatan.
“Siasatan sedang berjalan dengan cukup aktif dan kita merakam banyak keterangan termasuk siasatan di tempat kejadian. Kertas siasatan sedang dikemaskini untuk dirujuk kepada pihak pendakwaan negeri bagi nasihat selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan sama ada insiden itu mempunyai unsur buli atau sebaliknya sehingga taklimat penuh diberi kepada pejabat pendakwaan negeri.
Tambah Shazeli, pelajar lelaki berusia 15 tahun itu masih menerima rawatan di hospital dan dilaporkan masih belum sedarkan diri.
“Tiada sebarang tangkapan individu dilakukan sehingga kini. Namun, kita memperoleh petunjuk positif dan nampak hasil keterangan ramai individu berhubung kes itu,” ujarnya.
Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan pelajar terbabit berada dalam keadaan stabil dengan menunjukkan tindak balas positif selepas menjalani prosedur khas bagi mengawal tekanan otak yang dilengkapkan dalam tempoh 48 jam pertama.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, bagaimanapun Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan pelajar lelaki itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.
Malah, kelmarin Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari semalam memberitahu beliau dimaklumkan sekurang-kurangnya 12 individu sudah dipanggil memberi keterangan kepada polis susulan kejadian.
Bagaimanapun, Shazeli memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti situasi dan punca sebenar kejadian.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN










