SHAH ALAM: Seorang pemandu lori kontena nyaris maut selepas kenderaan membawa muatan bahan kimia dipandunya itu terbabas dan terbalik di Kilometer 29.6 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di sini, hari ini.
Kejadian itu turut mengakibatkan berlaku tumpahan bahan berkenaan di permukaan lebuh raya kawasan tersebut.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.25 pagi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lori itu membawa muatan sulfur, calcium carbonate dan titanium oxide berbentuk cecair dalam 10 tangki berkapasiti 1,000 liter.
“Bahan kimia itu telah tumpah di dalam kontena dan mengalir ke permukaan jalan utama KESAS,” katanya.
Tambah Ahmad, pemandu lori itu berjaya diselamatkan orang awam dan hanya mengalami cedera ringan.
“Anggota bomba sedang menunggu pihak kontraktor mengalihkan kontena itu ke tepi lebuh raya bagi pembersihan tumpahan bahan kimia tersebut,” ujarnya. – UTUSAN