Nelayan hilang, bot dinaiki dilanggar vesel pukat tunda

Nelayan hilang, bot dinaiki dilanggar vesel pukat tunda

Nelayan hilang
KEADAAN bot mangsa yang dilanggar dalam kejadian itu di perairan berdekatan Pulau Klang, di Klang, Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Malang menimpa tiga nelayan tempatan apabila bot dinaiki mereka dirempuh sebuah vesel ketika menangkap ikan di perairan berdekatan Pulau Klang di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu menyebabkan seorang daripada mangsa dilaporkan hilang manakala dua lagi terselamat.

Mangsa yang belum ditemui dikenal pasti sebagai Zamri Mohd. Harun, 56, manakala mangsa selamat iaitu Suzamri Mohd. Sabri, 56, dan Yazid Harun, 52.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kapten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kejadian itu melibatkan bot fiber dinaiki mangsa yang dirempuh sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) jenis pukat tunda, kira-kira 0.3 batu nautika di utara Pulau Klang.

“Maritim Malaysia Selangor menerima laporan kecemasan daripada seorang nelayan yang mendakwa vesel itu terus beredar sejurus kejadian. Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Selangor kemudian menggerakkan bot ronda ke lokasi bagi melakukan pencarian awal mangsa yang hilang.

“Zamri dipercayai hilang di laut dan kali terakhir memakai baju berwarna biru merah dan berseluar biru,” katanya hari ini.

Jelasnya, dua mangsa yang terselamat dibawa ke Jeti Maritim Selangor dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pukul 12.35 tengah malam bagi menerima rawatan.

“Dua nelayan itu mengalami kecederaan dan keletihan akibat kejadian tersebut,” ujarnya.

Kata Abdul Muhaimin lagi, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pukul 12.10 tengah malam tadi.

“Usaha pencarian kini masih diteruskan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Polis Marin (PPM). Operasi disertai seramai 20 anggota dan tiga aset laut yang meliputi kawasan pencarian seluas 13 batu nautika persegi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN