KUALA SELANGOR: Empat pekerja sebuah kilang kelapa sawit di Bestari Jaya di sini, cedera selepas mesin dandang stim premis itu meletup ketika melakukan kerja pemanasan air hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu mengakibatkan semua mangsa lelaki berusia 20 hingga 30-an melecur di bahagian kaki.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya di kerah ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 8.55 pagi.
“Siasatan awal mendapati empat pekerja termasuk tiga warga asing sedang melakukan kerja pemanasan air pada mesin dandang itu. Namun, berlaku letupan hingga menyebabkan semua mangsa berkenaan melecur,” katanya.
Tambah Ahmad Mukhlis, semua lelaki itu dihantar ke Hospital Tanjong Karang bagi menerima rawatan lanjut.
“Mangsa dihantar orang awam dan kebakaran itu telah dipadamkan sebelum ketibaan bomba di lokasi kejadian,” ujarnya. – UTUSAN