KUALA LANGAT: Dua lelaki penunggang dan penumpang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis dekat persimpangan lampu isyarat di Kilometer (KM) 5, Jalan Banting-Jugra, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, motosikal jenis Y15ZR itu bertembung pada sisi sebelah kiri kereta terbabit yang sedang keluar dari simpang tersebut untuk belok ke kanan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, siasatan pihaknya mendapati kereta berwarna hitam itu dari arah Banting menghala ke Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat sementara penunggang dan pembonceng masing-masing berusia 20-an itu berada di laluan bertentangan.
Menurutnya, kemalangan tersebut menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak dan jatuh di atas jalan raya.
“Hasil siasatan mendapati penunggang tidak mematuhi lampu isyarat yang sedang berwarna merah pada kemalangan itu berlaku. Sementara pemandu kereta berusia 50-an pula sedang membelok ke kanan ketika lampu isyarat hijau.
“Penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kepala sementara pembonceng pula cedera di bahagian kepala serta kaki dan dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan. Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Tambah Mohd. Akmalrizal, kira-kira pukul 2.15 petang, pegawai perubatan kemudian mengesahkan kedua-dua penunggang dan pembonceng meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.
“Pemandu motokar, saksi bebas dan waris mangsa sudah pun hadir memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222,” ujarnya. – UTUSAN