KEMAMAN: Kediaman Pengarah Hospital Kemaman, Dr. Anuar Japar di Kampung Gong Limau, Chukai di sini hampir musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 10.45 malam semalam.
Bagaimanapun, difahamkan ketika kejadian beliau berada di Kuala Lumpur atas tugas rasmi manakala isteri dan dua anaknya yang berada di rumah tersebut, sempat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Penguasa Kanan Bomba, Mohd Zailani Abdullah berkata, seramai 17 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai dan Kemaman dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan.
“Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada sebuah bilik, sebelum merebak melalui siling ke ruang tamu dan stor rumah tersebut.
“Struktur kerangka bumbung yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api merebak ke dua bilik dan ruang tamu melalui siling dengan cepat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd. Zailani berkata, bagaimanapun, kepantasan anggota bomba yang memadamkan api dapat menyelamatkan rumah berkenaan daripada terbakar keseluruhannya dan hanya 50 peratus kebakaran terlibat.
“Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang melawat keluarga terlibat berkata, pihaknya akan menyediakan tempat tinggal sementara buat keluarga berkenaan sebelum mereka berpindah ke kuarters di Hospital Kemaman. –UTUSAN ONLINE