JOHOR BAHRU: Seorang pemilik syarikat kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu antara lima hingga tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Safri Ibrahim, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu dokumen borang sebut harga dan penyata akaun bank milik syarikat berbeza yang dipalsukan bagi mendapatkan kerja pembinaan, membaik pulih dan penyelenggaraan di Muar.
Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Muar antara 27 Ogos 2019 hingga 5 Julai 2020.
Pemilik syarikat itu turut dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu dokumen penyata akaun bank bagi tiga syarikat berbeza dimana kamu mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen penyata bank tersebut adalah palsu untuk mendapatkan kerja dan projek bagi syarikat terbabit.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Muar dan Majlis Perbandaran Muar antara 22 Julai hingga 9 Februari 2021.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil mencadangkan kepada mahkamah jaminan berjumlah RM6,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi pemilik syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Ahmad Hafiz A. Bakar memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya yang menghidap penyakit darah tinggi tidak bekerja selain perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah dan ibu yang uzur.
“Mohd. Safri tidak mempunyai sumber pendapatan dan terpaksa bergantung kepada isterinya yang bekerja sebagai penolong jurutera.
“Anak guam saya juga hanya sempat mengumpul bayaran jaminan berjumlah RM20,000 yang dipinjam daripada kawan-kawan dan adik beradik. Jadi, saya mohon jaminan yang minima antara RM3,500 hingga RM4,000 bagi setiap pertuduhan,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pendakwaan dan menetapkan 15 Mei depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN








