KUALA LUMPUR: Seorang pemilik syarikat kawalan keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan agensi persendirian tanpa lesen, April lalu.
Gan Eng Huat, 67, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret M.S. Arunjothy.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah pusat beli-belah di Jalan Jelatek, di sini pada pukul 3.30 petang, 7 April lalu.
Tertuduh didakwa menjalankan perniagaan agensi persendirian tanpa mempunyai lesen seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 3(1) Akta Agensi Persendirian 1971.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 akta sama yang mana tertuduh boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Pegawai Pendakwaan Kementerian Dalam Negeri, Muhamad Aliff Zaharil mencadangkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
Bagaimanapun, peguam bela, S. Vikneshwaran yang mewakili tertuduh merayu jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana anak guamnya menanggung isteri dan abangnya yang kurang upaya selain menghidap penyakit gout.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 6 Oktober ini sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN









