KUALA LUMPUR: Tiga pemilik syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia antara enam individu terbaharu ditahan dipercayai terlibat dalam pelaburan MBI melalui Op Northern Star di seluruh negara, baru-baru ini.
Keenam-enam individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 50 an itu ditahan dalam operasi bermula 26 Julai hingga 15 Ogos lalu oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, daripada enam yang ditahan, tiga individu merupakan seorang bergelar Datuk Seri serta dua lagi bergelar Datuk.
“Siasatan mendapati ketiga-tiga mereka ada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan dua individu bergelar Datuk mempunyai perniagaan dalam bidang telekomunikasi dan pemaju perumahan manakala dua lagi individu adalah penjaga kebun dan akauntan kebun durian.
“Mereka dipercayai berperanan sebagai proksi yang menerima wang daripada dalang pelaburan MBI (Tedy Teow) untuk tujuan pembersihan (cuci duit) dan wang itu disalurkan untuk perniagaan hartanah, pembelian aset, kebun dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan kesemua individu dalam pelaburan MBI.
Jelasnya, kesemua tangkapan direman selama empat hingga 12 hari bagi membantu siasatan.
“Kita komited untuk meneruskan siasatan secara menyeluruh dan tegas terhadap mana-mana pihak yang disyaki terlibat sama ada secara langsung dan tidak langsung dalam menyimpan, memindah, menggunakan atau membawa masuk atau keluar wang daripada aktiviti haram yang melanggar undang-undang.
“Kerjasama orang awam amatlah dialu-alukan. Maan-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan aset atau hasil perolehan berkaitan kes pelaburan MBI digesa tampil memberikan kerjasama kepada pasukan siasatan melalui AMLA,” katanya.
Pada 30 Mei lalu, Ketua AMLA Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali memaklumkan jumlah tangkapan membabitkan kes penipuan pelaburan MBI adalah seramai 17 individu dengan keseluruhan aset yang dibekukan dan disita sejumlah RM3.81 bilion.
Katanya, tangkapan itu membabitkan usahawan bergelar ‘Tan Sri’ dan ‘Datuk Seri’ yang dipercayai menjadi proksi serta rakan perniagaan dalam skim penipuan pelaburan itu yang ditahan di sekitar Lembah Klang dan di utara tanah air menerusi Op Northern Star. – UTUSAN










