Op Cyber Guardian: Polis jumpa 500,000 bahan lucah termasuk libatkan kanak-kanak

Op Cyber Guardian: Polis jumpa 500,000 bahan lucah termasuk libatkan kanak-kanak

MOHD. Khalid Ismail (tengah) pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 69 individu termasuk dua orang penjawat awam ditahan dalam operasi penguatkuasaan besar-besaran, Op Cyber Guardian 2026 bagi membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, hasil penahanan itu, sebanyak 498,690 fail digital merangkumi 204,934 bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan 293,760 bahan pornografi dewasa turut ditemukan.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 66 tahun terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pekerjaan.

Menurutnya, operasi itu juga hasil kerjasama melibatkan tujuh negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.

“Menerusi yang dijalankan, kita telah menyasarkan 101 sasaran melibatkan individu, premis dan peranti digital berdasarkan risikan.

“Daripada jumlah itu, 67 adalah sasaran asal manakala dua lagi merupakan individu yang ditemukan di lokasi semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan dilakukan terhadap semua sasaran telah membawa kepada rampasan sebanyak 126 barangan.

“Sebanyak 124 peranti digital seperti telefon bimbit, komputer riba dan peranti storan dirampas selain dua alat permainan seks,” jelasnya.

Tambahnya, siasatan mendapati suspek menggunakan rangkaian digital tersusun bagi mengakses, menyimpan dan mengedar bahan tersebut melalui pelbagai platform dalam talian termasuk aplikasi komunikasi sulit.

“Ada dalam kalangan suspek bertindak sebagai pentadbir kumpulan dengan menawarkan akses kepada bahan CSAM secara berbayar melalui transaksi e-dompet dan kod QR, menunjukkan wujud elemen komersial dalam jenayah ini.

“Jenayah ini bukan lagi bersifat terpencil, sebaliknya telah berkembang menjadi aktiviti terancang yang berorientasikan keuntungan,” jelasnya.

Katanya, sebanyak 67 kertas siasatan telah dibuka di bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Daripada jumlah itu, 62 kes melibatkan 62 tertuduh telah didakwa dengan keseluruhan 81 pertuduhan.

“Setakat ini, dua individu telah dijatuhkan hukuman penjara antara tiga hingga tujuh bulan, manakala selebihnya dikenakan denda atau masih menunggu proses mahkamah,” katanya.

Mohd. Khalid berkata, bahan-bahan lucah tersebut diperoleh daripada pelbagai laman web sebelum disusun dan dikumpulkan oleh individu atau kumpulan tertentu. 

Jelasnya, kandungan itu kemudian dipromosikan, didedahkan serta dijual kepada pihak berkepentingan bagi meraih keuntungan.

“Kami masih menyiasat lagi sekiranya terdapat individu yang menghasilkan sendiri kandungan lucah melibatkan pedofilia di negara ini. Rakaman yang kami rampas setakat ini dipercayai diperoleh dari luar negara sebelum dijual untuk keuntungan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian serta sumber lain yang terlibat,” ujarnya.

Mohd Khalid berkata, pemantauan mendapati beberapa platform digunakan untuk aktiviti tersebut dengan Telegram dikenal pasti sebagai medium utama kerana mudah diakses dan menawarkan ciri privasi yang tinggi. 

“Namun, penggunaan platform lain tidak ditolak dan masih dalam siasatan. Kami (polis) ingin menegaskan komitmen untuk terus membanteras kegiatan ini dan menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN