PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) meminta konsep penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 dinilai semula mengambil kira sensitiviti masyarakat serta nilai agama.
Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan berkata, penganjuran festival berkenaan dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak serta keruntuhan nilai dalam kalangan masyarakat.
“JAWI membantah penganjuran Program Rain Rave Water Music Festival 2026 di Kuala Lumpur yang dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai.
“JAWI berharap agar pihak penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaannya dan cakna terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada Isnin lalu, satu festival muzik berkonsepkan air, Rain Rave Water Music Festival 2026 dijangka menjadi antara acara hiburan terbesar di ibu negara mulai 30 April hingga 2 Mei ini.
Acara tersebut mengetengahkan konsert muzik moden yang menggabungkan elemen air, visual serta persembahan bertenaga tinggi, sekali gus memberi pengalaman baharu kepada pengunjung di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur.
Tambahnya, Islam juga tidak melarang hiburan, namun penganjuran itu berlandaskan garis panduan syarak serta tidak menjejaskan nilai masyarakat.
“Bayan Linnas Siri Ke-351 yang dikeluarkan dengan jelas menyatakan bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun hiburan tersebut hendaklah tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak,” katanya.
JAWI turut memohon semua pihak agar memastikan penganjuran program berbentuk hiburan tidak mengandungi unsur yang menjejaskan kesucian agama dan nilai masyarakat.
Sehubungan itu, pelaksanaan program keagamaan akan terus dipergiat melalui pelbagai pendekatan termasuk kuliah, ceramah, forum serta kempen kesedaran.
“JAWI akan meneruskan pelaksanaan program-program keagamaan di Wilayah Persekutuan berkaitan kepentingan umat Islam untuk sentiasa mematuhi perintah Allah dan menjauhkan diri dari terlibat dalam program-program yang berunsur maksiat.
“Justeru, JAWI akan menganjurkan bacaan Yassin dan solat hajat serentak di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada hari ini 30 April 2026 selepas solat Maghrib bagi mendoakan kesejahteraan dan keharmonian hidup warga Wilayah Persekutuan secara khusus dan rakyat Malaysia secara amnya,” katanya. – UTUSAN










