PETALING JAYA: AirTrunk akan meningkatkan pelaburan di Malaysia sebanyak RM12 bilion tahun ini sekali gus menjadikan jumlah komitmen pelaburan syarikat platform pusat data hiperskala itu mencecah RM27 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan tambahan itu dimaklumkan ketika beliau menerima kunjungan hormat Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirTrunk, Robin Khuda bersama delegasinya, semalam.
Katanya, perbincangan tersebut menyentuh kemajuan pembinaan pusat data AirTrunk di Johor selain rangka kerja bagi meningkatkan penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian nilai industri pusat data.
“Perbincangan turut menyentuh kemajuan pembinaan semasa pusat-pusat data AirTrunk di Johor dan rangka kerja lokalisasi bagi meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai pusat data.
“Komitmen pelaburan ini amat dialu-alukan dan diyakini akan memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau yang berdaya saing, progresif dan berkeupayaan tinggi,” katanya di Facebook, hari ini.
Tambahnya, keputusan itu turut mencerminkan keyakinan pelabur khususnya syarikat teknologi global terhadap kelebihan Malaysia sebagai rakan strategik.
“Keputusan ini mencerminkan keyakinan para pelabur, terutamanya syarikat-syarikat teknologi global akan kelebihan Malaysia sebagai rakan strategik di kala Kerajaan memperkemas dasar serta tahap kecekapan pembangunan dan operasi pusat-pusat data,” katanya. – UTUSAN










