Gayong 2: menyanjung semangat seorang legenda  - Utusan Malaysia

Gayong 2: menyanjung semangat seorang legenda 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FILEM Gayong 2, jika dikaji lebih mendalam, bukan sekadar filem aksi yang mengangkat perjuangan figura ikonik, Datuk Meor Abdul Rahman dalam dunia persilatan serantau. Tetapi naskhah yang menelan kos pembikinan 12 juta ini sebenarnya meneroka seluasnya sejarah yang mungkin tidak diketahui masyarakat. 

Bagi Penerbit, Eric Ong, adalah menjadi kerugian sekiranya perjuangan legenda seni Silat Gayong ini, yang 76 tahun dulu mempertaruhkan jiwa raga sebagai anggota polis di Singapura, tidak diceritakan kepada masyarakat hari ini.

“Meor berkhidmat sebagai anggota polis ketika Singapura dibelenggu kegiatan kongsi gelap, masalah penyeludupan dadah opium  yang berleluasa sekitar 1950. 

“Beliau bukan sahaja ikon Silat Gayong, tetapi anggota polis yang telus, jujur dan amanah dalam menentang gangsterisme, pengedaran dadah dan korupsi dalam kalangan penguat kuasa British ketika itu. Pada saya, ini merupakan sejarah yang perlu diceritakan.

“Apa yang penting adalah kita mengangkat semangat,  perjuangan dan sumbangan beliau kepada masyarakat,” kata Eric.

Eric yang sebelum ini pernah menerbitkan filem Adiwiraku dan Gemencheh Boys menyimpan matlamat yang lebih tinggi terhadap filem Gayong dan Gayong 2, bukan sekadar menginginkan filem-filem itu merekodkan kutipan pecah panggung.

Malah, dia berharap masyarakat Malaysia hari ini mengenali wira negara bertaraf legenda yang kisahnya berharga dan bernilai tinggi serta wajar disajikan kepada umum.

“Niat saya mahu mengangkat seorang ikon dalam dunia seni mempertahankan diri. Kenapa hanya segelintir yang bercakap tentang Datuk Meor Abdul Rahman sedangkan ramai yang rancak bercerita mengenai Wong Fei Hong atau Ip Man?

“Dunia Melayu menyaksikan ramai figura seni bela diri bertaraf legenda yang wajar diketengahkan. Cuma tidak ramai yang cerita mereka didokumentasikan. Berbeza dengan Meor, yang mana kami menjumpai banyak rekod dan maklumat mengenai kisah hidup beliau. 

“Tambah pula perjalanan hidup beliau menarik untuk diceritakan kerana hayatnya merentasi banyak fasa. Beliau hidup ketika perang dunia kedua, pernah bertugas sebagai anggota polis Singapura dan sebagainya. Ini adalah fakta sejarah.

Disoal mengenai cabaran menghasilkan Gayong dan Gayong 2, Eric memaklumkan antara yang menguji seluruh pasukan produksi adalah tuntutan mengetengahkan fakta dan maklumat yang sahih mengenai seorang legenda. 

“Pada awalnya, kami melakukan banyak pembacaan menerusi Internet. Kemudian, ketika memulakan proses penulisan cerita, pasukan kami, dengan bantuan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) bertemu anak perempuan beliau, Siti Fadzilah di Johor bagi mendapatkan maklumat serta kebenaran untuk membawa kisah bapanya ke layar perak. 

“Fadzilah berkongsi banyak kisah tentang Allahyarham, antaranya semasa Meor berkhidmat di kem British, selain ketika beliau bekerja sebagai pelayan restoran. Ini kami ceritakan dalam filem Gayong.

“Dalam masa yang sama, pasukan produksi juga berpeluang berjumpa dengan salah seorang daripada 13 anak murid terawal sekolah seni Silat Gayong pertama yang ditubuhkan Meor di Singapura 10 tahun selepas beliau menamatkan perkhidmatan sebagai anggota polis sekitar 1960. Pelajar itu, Datuk Raja Abdul Majid Mat Isa kini menetap di Kedah.

“Dengan maklumat yang kami peroleh, maka terhasillah penceritaan yang dicampur dengan adegan-adegan fiksyen dalam filem Gayong pertama dan kedua.

“Gayong bukan sebuah biopik, tetapi cerita yang diinspirasikan kisah hidup Meor. Dan mustahil seratus peratus kisah sebenar beliau kami ceritakan. Kami bukan mahu menghasilkan dokumentari, tetapi filem,” kongsinya.

TIDAK TIRU IP MAN

Antara kekuatan Gayong 2 adalah lakonan mantap barisan pelakon kelas pertama yang dipilih berdasarkan kredibiliti mereka menghidupkan watak dalam filem ini.

Berbeza dengan Gayong, Gayong 2 sarat dengan drama selain babak aksi yang bukan sahaja menjarah tenaga pelakon, malah emosi mereka. 

“Filem Gayong 2, lebih drama dan aksi. Memang mencabar  dilakonkan kerana filem ini sarat dengan babak pertarungan dan air mata.

“Saya dan barisan pelakon lain telah memberikan tahap lakonan kami yang terbaik kerana naskhah ini berat disebabkan cerita tentang seorang legenda yang masyhur,” katanya Beto Kusyairi yang menggalas peranan utama disamping Nabila Huda dan Syafie Naswip.

Beto dalam masa sama menyangkal dakwaan yang kononnya filem Gayong dan Gayong dua mempunyai persamaan dengan filem antarabangsa Ip Man. Baginya kedua filem mempunyai jalan jauh cerita berbeza. 

“Saya tidak boleh menyalahkan penonton. Mereka menghakimi berdasarkan treler filem, justeru menyamakan filem ini dengan IP Man. 

“Pada saya Gayong dan Ip Man tidak boleh disamakan. Latar masa berbeza, cerita Gayong berdasarkan zaman penjajahan British dan Jepun di Tanah Melayu. 

“Watak Datuk Meor Abdul Rahman pula punya identiti sendiri, terlalu jauh bezanya dengan Ip Man. 

“Cuma situasinya filem Ip Man dihasilkan lebih dulu. Jika sebaliknya, pasti ada yang mengatakan Ip Man pula yang tiru Gayong,” kongsinya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN