KANGAR: Jabatan Pendidikan negeri (JPN) Perlis akan memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan membabitkan seorang murid perempuan berusia 12 tahun yang didakwa menjadi mangsa buli fizikal dan mental di sebuah sekolah sejak darjah tiga.
Jabatan Pendidikan negeri memaklumkan, pihaknya mengambil maklum berhubung insiden di sebuah sekolah yang mengakibatkan kecederaan murid itu.
Katanya, polis juga sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes tersebut.
“JPN Perlis memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan dan tidak sesekali berkompromi dengan salah laku buli. Sesiapa sahaja yang bersalah perlu dikenakan tindakan,” katanya.
Terdahulu, pasangan suami isteri dari Chuping, di sini, memohon keadilan buat anak sulung mereka berusia 12 tahun yang didakwa menjadi mangsa buli fizikal dan mental di sekolah.
Norasikin Hasin, 32, dan Muhamad Abdul Hadi Mohd Fauzi, 32, mendakwa anak perempuannya itu yang lebih mesra disapa sebagai ‘kakak’ telah dibuli pada bulan Februari lalu dan turut mengadu sakit belakang selepas pulang dari asrama sebuah sekolah di sini.
Dalam pada itu, pihak sekolah telah diminta untuk memastikan bantuan terbaik diberi kepada murid berkenaan.
“Kebajikan dan kesejahteraan murid terlibat perlu diberi keutamaan,” katanya.










