ARAU: Seorang warga emas dari Kampung Sungai Padang, di sini, teruja apabila penantian menunaikan haji makbul setelah terpilih melaksanakan ibadah itu tahun ini.
Bagaimanapun, jauh di sudut hati Norma Ngah, 66, dia masih terkenang arwah anak sulungnya yang sebelum ini pernah memasang impian menghantarnya ke tanah suci.
Norma bakal berangkat ke tanah suci bersama ibunya, Romlah Din, 85, yang turut terpilih melaksanakan ibadah tersebut.
Kata warga emas itu, anak sulungnya meninggal dunia pada 2021 manakala anak kedua pula pada 2020 disebabkan jangkitan Covid-19.
“Saya sangat terharu sebab sebelum ini, arwah anak sulung saya memang ada pasang impian hendak hantar saya ke sana (Mekah), namun tidak sempat. Jadi bila dapat pergi kali ini, sedikit sebanyak seperti tunaikan hasrat arwah yang sebelum ini tidak kesampaian.
“Semasa hayat, anak sulung saya sememangnya berhasrat hendak bawa saya tunaikan haji namun tidak sempat sebab Allah SWT lagi sayangkannya. Alhamdulillah, saya dan mak dapat tawaran ke sana selepas beberapa tahun anak meninggal dunia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Kata ibu kepada tujuh anak itu, dia sememangnya tidak menyangka menerima tawaran haji berkenaan dalam masa lima tahun selepas anaknya itu meninggal dunia.
Katanya, sewaktu menerima tawaran itu, dia juga berbelah bagi berikutan hanya mempunyai simpanan sekitar RM5,000 sahaja.
“Namun begitu, anak-anak yang lain telah bersama-sama membantu bagi mencari baki wang berkenaan hanya dalam tempoh masa dua minggu sahaja. Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan urusan saya dan mereka berjaya cukupkan baki wang itu untuk bolehkan saya tunaikan haji nanti,” katanya.
Dia bersama ibu akan berangkat ke Mekah pada Jumaat minggu hadapan dan dijangka pulang semula ke tanah air sekitar awal Jun.
Katanya, segala persiapan telah dilakukan termasuk menghadiri kursus haji dan membeli kelengkapan diperlukan sebagai persediaan awal sebelum berangkat ke sana.
“Alhamdulillah, anak-anak paling banyak membantu dalam membuat persiapan ini dan semuanya disediakan oleh mereka,” katanya.-UTUSAN










