Sekatan rentas negeri Sabah - Utusan Malaysia

Sekatan rentas negeri Sabah

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk mengenakan sekatan perjalanan rentas negeri dari Sabah ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan bermula 12 sehingga 25 Oktober ini sebagai mengambil kira peningkatan kes Covid-19 di seluruh negeri Sabah.  

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walau bagaimanapun, pengecualian khas diberikan kepada kes-kes tertentu yang melibatkan kecemasan, kematian, perkhidmatan perlu dan lain-lain yang harus mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan.

Menurut beliau, mereka yang telah mendapat kebenaran itu perlu menjalani ujian saringan Covid-19 setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing.

Kata beliau, bagi pergerakan masuk ke Sabah, kebenaran diberikan kepada kategori tertentu seperti rakyat Sabah pemegang MyKad kod H iaitu pasangan kepada rakyat Sabah yang memiliki pas imigresen Malaysia yang sah tempoh dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Sabah atau bukti perkahwinan dan sijil lahir anak.  

Selain itu, katanya, turut dibenarkan kepada pekerja bidang perkhidmatan perlu (essential service) yang mempunyai pas Imigresen Malaysia yang sah tempoh.

“Pelajar bukan rakyat Sabah yang mempunyai kad atau pas pelajar daripada Jabatan  Imigresen Sabah juga dibenarkan selain anggota perkhidmatan awam yang berkhidmat di Sabah perlu mendapatkan cap seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 di pejabat Imigresen Sabah setelah masuk ke Sabah. 

“Pemastautin tetap Sabah yang memiliki MyPR kod H atau Kad Permit Masuk atau endosmen permit masuk dalam passport, mereka hendaklah membuat permohonan kepada Jabatan Ketua Menteri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan untuk pertimbangan,” katanya dalam laporan harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri turut memberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam telah menahan 363 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP dengan seramai 307 individu telah dikompaun manakala 56 direman. 

Katanya, antara kesalahan itu ialah tidak memakai pelitup muka (144), gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri (129), penjarakan fizikal (53), premis beroperasi lebih masa (17) dan aktiviti dalam kelab malam (15).

“Operasi Benteng telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 151 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong dan lima kenderaan darat dirampas melalui 133 sekatan jalan raya.

“Seramai 42,000 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sehingga semalam dan telah ditempatkan di 65 hotel dan 14 premis lain. 

“Daripada jumlah itu, seramai 9,659 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 106 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala seramai 32,235 individu telah  dibenarkan pulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya