PASIR PUTEH: Pusara Allahyarham Nurly Shahirah Azman yang merupakan salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas bas di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak, masih tidak putus-putus diziarahi orang ramai dari dalam dan luar negara meskipun kejadian tersebut sudah setahun berlalu.
Malah, purata 20 pengunjung sehari hadir ke tanah perkuburan bagi menziarahi pusara Allahyarham dii Kampung Gong Pasir, Besut, Terengganu selain berkunjung ke rumah keluarganya untuk melihat sendiri naskhah al-Quran tulisan tangan yang dihasilkan pelajar berkenaan ketika hayatnya.
Bapanya, Azman Mohamad, 65, berkata, dia tidak menyangka anak bongsunya itu masih menjadi perhatian masyarakat walaupun tragedi berkenaan sudah setahun berlalu.
Katanya, pengunjung yang hadir bukan sahaja dari dalam negara, malah ada yang datang dari Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei semata-mata untuk menziarahi pusara Allahyarham Nurly Shahirah serta melihat naskhah al-Quran tersebut.
“Alhamdulillah, rezeki arwah anak saya yang begitu dekat dengan al-Quran ketika hayatnya dapat dilihat apabila selepas setahun masih ramai yang datang mengunjungi pusaranya.
“Mereka yang datang bukan mempunyai pertalian darah dengan kami. Apabila ditanya, mereka memberitahu hati mereka terdetik untuk datang menziarahi pusara Allahyarham dan melihat naskhah al-Quran itu,” katanya.
Dia ditemui pada Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 yang turut dihadiri Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff di sini, hari ini.
Azman berkata, disebabkan itu dia tidak meninggalkan rumah terlalu lama kerana hampir setiap hari dari pagi hingga petang ada yang datang berkunjung.
Katanya, dia tidak mahu menghampakan orang ramai yang berkunjung ke rumahnya di Kampung Gong Pasir.
“Kehadiran berterusan pengunjung menjadi bukti kecintaan Allahyarham terhadap al-Quran meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan masyarakat. Saya reda dan tidak pernah menyalahkan sesiapa berhubung tragedi itu kerana menganggap apa yang berlaku adalah takdir Allah.
“Hampir setiap hari saya ke pusara arwah untuk melepaskan rindu dan sebahagian barangan miliknya juga telah diberikan kepada rakan-rakan sebagai kenangan,” katanya.
Dalam nahas pada 9 Jun tahun lalu, seramai 15 penuntut UPSI maut apabila bas dinaiki mereka yang dalam perjalanan pulang ke kampus Tanjung Malim dari Jerteh, Terengganu terbalik berhampiran Tasik Banding, selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan Perodua Alza. – UTUSAN










