Abang Nur Haira trauma, kerap menangis dan hilang selera makan - Utusan Malaysia

Abang Nur Haira trauma, kerap menangis dan hilang selera makan

MOHAMMAD HAMIZI Hamdan bersama isterinya, Nur Wahyuni Harun sedih apabila anaknya, Nur Haira Wafiqah, 2, cedera parah susulan diserang sekumpulan anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Abang kepada Nur Haira Wafiqah Mohammad Hamizi, 2, kanak-kanak yang parah diserang sekumpulan anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, Sabtu lalu masih trauma dengan kejadian itu.

Ibu mangsa, Nur Wahyuni Harun, 36, berkata, ketika kejadian, dia bersama suaminya baharu hendak bergerak ke Johor Bahru untuk berniaga makanan, sebelum mendapat panggilan 30 minit kemudian memaklumkan kejadian yang berlaku.

Katanya, kejadian yang berlaku telah meninggal kesan trauma kepada ahli keluarga yang lain, termasuklah anak sulungnya yang menjadi saksi kepada insiden berkenaan.

“Ketika kejadian itu, abangnya yang berusia 12 tahun ada sekali di lokasi kejadian. Dia nampak sendiri adiknya dikerumuni beberapa ekor anjing liar tersebut. Walaupun dia cuba halau haiwan itu masih menyerang adiknya.

“Hanya selepas beberapa ketika selepas neneknya turut bantu menghalau baharulah haiwan berkenaan meninggalkan kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah, di sini hari ini.

Tambah Nur Wahyuni, susulan kejadian itu, anak sulungnya itu kehilangan selera makan dan sukar untuk tidur, selain kerap menangis pada waktu malam.

“Abang dia trauma kerana berdepan kejadian itu, abang dia menangis beberapa hari ini kerana kerap terbayang. Dia juga kehilangan selera makan, kami sekeluarga pun sama.

“Apatah lagi kejadian itu berlaku pada tarikh hari lahir saya,” katanya.

Pada masa sama, Nur Wahyuni turut memberitahu, Nur Haira masih ditidurkan susulan berdepan kecederaan parah di seluruh bahagian badannya, terutamanya di bahagian kepala dan pipi.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohammad Hamizi Hamdan, 37, berkata, pihaknya berharap orang ramai dapat mendoakan kesembuhan anak bongsunya itu.

“Selain itu, saya juga meminta kerjasama semua pihak untuk memadamkan gambar tular kecederaan anak saya, serta menurunkan hantaran media sosial yang mengandungi gambar-gambar berkenaan.

“Kami sekeluarga tidak sanggup untuk melihatnya, terasa pedih,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×