'Pen merah, pen biru, kita pilih biru'

‘Pen merah, pen biru, kita pilih biru’

AB. Rauf memberi bayangan itu dalam Program Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Jeti Paya Lebar, Masjid Tanah di sini hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memberi bayangan mengenai pendirian politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila mengajak rakyat memilih warna biru pada pilihan raya nanti.

“Jadi yang dah ada ni jagalah elok-elok, pokok yang rendang ini jangan ditebang. Pen merah, pen biru, jangan pilih merah, kita pilih biru,” katanya dalam Program Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Jeti Paya Lebar, Masjid Tanah di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, PRN Melaka semakin hampir apabila tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) kini hanya berbaki ‘dua kali Jumaat’.

“Walau bagaimanapun kita tetap mengadakan pilihan raya. Yang tak boleh kita tunggu lama-lama kerana waktunya sudah hampir dengan pembubaran secara automatik.

“Kalau kita pilih besok, pilihlah yang baik. Pilihlah yang boleh membawa kesejahteraan kita,” katanya.

Ab. Rauf kemudian secara berseloroh menyebut mengenai tempoh ‘dua kali Jumaat’ sebelum ini memberi bayangan pembubaran DUN Melaka akan berlaku dalam tempoh empat kali Jumaat.

“Semalam orang kata dua kali Jumaat. Saya tak cakap terus dua kali Jumaat, tak tahu berapa kali Jumaat itu orang punya pasal. Saya cakap dua kali Jumaat, media ambil dua kali Jumaat.

“Kalau Jumaat maksudnya Jumaat ini, hari Jumaat depan, eh senang benar orang kau,” katanya.

Mengulas lanjut, Ab. Rauf berkata, jentera BN Melaka perlu memperkemaskan persiapan bagi menghadapi PRN, terutama dalam memastikan pendekatan mendekati rakyat yang dilaksanakan kerajaan negeri dapat diteruskan sepanjang tempoh pilihan raya nanti.

Menurutnya, suara rakyat yang disampaikan wakil rakyat akan dibawa ke meja mesyuarat kerajaan negeri untuk diterjemahkan kepada perancangan dan dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurut beliau, BN bakal mengutamakan pendekatan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) sebagai antara strategi utama menghadapi PRN yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Katanya, kerajaan negeri mahu memastikan rakyat terus menjadi keutamaan menerusi pendekatan yang membolehkan permasalahan mereka didengar dan diselesaikan secara terus di peringkat akar umbi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×