Dua sahabat maut dirempuh pemandu mabuk - Utusan Malaysia

Dua sahabat maut dirempuh pemandu mabuk

LELAKI dipercayai mabuk ditahan selepas menyebabkan kematian dua sahabat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Hajat dua sahabat untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha tidak kesampaian apabila mereka maut selepas motosikal dinaiki dirempuh kereta yang dipercayai dipandu lelaki mabuk.

Dalam kejadian pada pukul 6.24 petang di Kilometer 5 Jalan Sialang di sini semalam, penunggang, Siti Nur Syahira Yazid, 19, dan pembonceng, Nur Syaza Nadihra Md. Selan, 22, meninggal dunia di lokasi selepas tercampak kira-kira tiga meter akibat dirempuh.

 

Difahamkan kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dari arah Tangkak menuju ke Jasin, Melaka manakala kereta Proton Persona dipandu seorang lelaki bersama dua lagi rakannya dari arah Bandar Melaka ke Tangkak.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Persona dipandu lelaki berusia 26 tahun yang disyaki dalam pengaruh alkohol telah hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa yang sama, datang sebuah motosikal skuter jenis Yamaha yang dinaiki dua pelajar itu lalu bertembung dengan kereta dipandu lelaki mabuk berkenaan.

“Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Fadhil berkata, siasatan mendapati Nur Syaza merupakan pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Bendahara, Jasin manakala Siti Nur Syahira adalah pelajar Kolej Politeknik Merlimau.

Manakala katanya, pemandu kereta Proton Persona merupakan seorang tukang cuci kenderaan berasal dari Bukit Serindit, Melaka serta dua lagi penumpang terdiri daripada pelajar dan buruh masing-masing berusia 18 tahun.

Beliau berkata, pemandu terbabit ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ujian air kencing untuk pengesanan dadah dan sampel darah diambil bagi mengetahui kandungan alkohol,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya