Pengundi muda harap kerajaan baharu tunaikan manifesto

Pengundi muda harap kerajaan baharu tunaikan manifesto

NUR Syuhada Ahmad Rosdi (kiri) dan adiknya, Nur Syakirah Ahmad Rosdi ketika ditemui di pusat mengundi di Institusi Pengajian Guru Raja Melewar, Sikamat, Seremban, hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Golongan pengundi muda berharap kerajaan negeri yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menunaikan segala manifesto yang dijanjikan serta memberi perhatian terhadap kebajikan dan masa depan belia.

Seorang pengundi, Nur Syuhada Ahmad Rosdi, 22, berkata, pengalaman mengundi kali kedua kali ini berjalan lancar dengan proses yang lebih cepat berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Proses mengundi kali ini sangat cepat dan lebih tenang. Sebagai pengundi muda, saya berharap semua rakyat menjalankan tanggungjawab mengundi supaya dapat membantu memperbaiki sistem pentadbiran di Negeri Sembilan.

“Saya juga berharap mana-mana parti yang menang nanti menunaikan segala manifesto yang telah dijanjikan kerana manifesto merupakan janji kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi di Institusi Pendidikan Guru Raja Melewar, Sikamat, di sini hari ini.

Bagi adiknya, Nur Syakirah Ahmad Rosdi, 21, berkata, dia teruja memandangkan dia merupakan pertama kali keluar mengundi.

Nur Syahirah berkata, dia banyak membuat rujukan melalui media sosial untuk mengenali calon yang bertanding selain mendapatkan bimbingan daripada bapanya.

“Saya sangka proses mengundi akan mengambil masa yang lama, tetapi rupanya sangat cepat dan orang pun tidak ramai.

“Saya tidak kisah sesiapa sahaja menjadi wakil rakyat. Saya hanya berharap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik, menunaikan janji kepada rakyat serta membawa perubahan dan penambahbaikan khususnya di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengundi, Muhammad Zulkarnain Muidin, 26, berkata, beliau membuat pilihan selepas mengikuti beberapa program dan meneliti manifesto yang dibawa oleh parti-parti yang bertanding.

“Pilihan raya kali ini memberi impak yang besar. Saya meneliti manifesto setiap parti sebelum membuat perbandingan dan menentukan pilihan.

“Saya berharap sesiapa yang dipilih nanti dapat menjalankan amanah dengan baik serta melaksanakan segala janji yang telah dibuat kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×