KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd. Shukri Ramli selepas sekian lama masih memendam rasa mengakui terkilan terhadap pihak yang menandatangani akuan bersumpah (SD) sehingga menyebabkan beliau terpaksa melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.
Mohd Shukri berkata, walaupun tidak berminat memanjangkan perselisihan tersebut, beliau tidak mahu bersikap hipokrit berhubung perasaannya terhadap rakan-rakan seperjuangan yang menjatuhkannya.
“Sakit hati terhadap mereka yang menandatangani SD itu memang ada. Rasa terkilan terhadap sahabat-sahabat yang menjatuhkan saya juga memang ada.
“Saya tidak mahu terus berpura-pura, namun rasa itu tidak bermakna saya mahu bermusuh selama-lamanya. Saya cuba menerima segala yang berlaku sebagai sebahagian daripada ketentuan Allah SWT dan jawatan bukan hak mutlak saya,” katanya di sini semalam.
Pada Disember tahun lalu, Mohd. Shukri melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar susulan tindakan tiga ADUN Pas bersama lima yang lain dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa telah bertemu Raja Perlis bagi menyerahkan SD menyatakan penolakan sokongan terhadap Mohd. Shukri.
ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Mohd. Shukri.
Sementara itu, Mohd. Shukri menafikan dakwaan yang melabelkan dirinya sebagai ‘pencatur’ atau penghasut yang cuba memecah-belahkan kesatuan Pas di negeri ini.
Beliau juga kesal apabila dirinya sering dijadikan ‘kambing hitam’ oleh pihak tertentu bagi menutup kelemahan jentera atau kekurangan sokongan ahli di peringkat akar umbi pada ketika ini.
“Hari ini, mereka telah memperoleh jawatan yang diinginkan. Namun apabila berdepan dengan kekurangan tenaga kerja, kelemahan jentera atau kurangnya sambutan daripada ahli, nama saya pula yang dipersalahkan.
“Tuduhan konon saya menghasut ini tidak adil dan saya sama sekali tidak pernah mengarahkan ahli memboikot parti, meninggalkan perjuangan atau melemahkan jentera. Saya hanya menerima kunjungan sahabat-sahabat dan ahli yang datang meluahkan rasa kecewa dan terkilan,” kata bekas Pesuruhjaya Pas negeri itu.
Mohd Shukri seterusnya menasihatkan pucuk pimpinan dan seluruh ahli parti agar bermuhasabah mencari punca sebenar ahli yang mula menjauh, dan bukannya saling menuduh demi agenda peribadi, lebih-lebih lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). – UTUSAN










