Pengundi Johor diseru keluar mengundi beramai-ramai esok

Pengundi Johor diseru keluar mengundi beramai-ramai esok

Johor mengundi
G. SIVAMALAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Rakyat Johor diseru supaya beramai-ramai keluar untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, G. Sivamalar berkata, beliau berharap situasi pilihan raya negeri itu pada tahun 2022 tidak berulang apabila hampir separuh daripada jumlah pengundi yang layak tidak keluar mengundi.

“Kerajaan yang akan dibentuk selepas pilihan raya ini mesti lahir daripada mandat rakyat yang luas. Semakin ramai keluar mengundi, semakin kukuh suara rakyat dalam menentukan siapa yang diberikan amanah untuk mentadbir.

“Peratusan keluar mengundi yang rendah tidak pernah baik untuk demokrasi. Demokrasi bukan sekadar tentang siapa yang menang dan kalah. Sebaliknya, ia adalah tentang rakyat yang hadir, bersuara dan membuat pilihan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Berdasarkan maklumat jumlah pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 2.7 juta rakyat Johor layak memilih pada PRN negeri itu yang diadakan esok selepas dua minggu tempoh kempen berjalan.

Daripada jumlah tersebut, lebih 24,000 pengundi pula terdiri daripada mereka yang mengundi awal seperti polis, angkatan tentera, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan mereka.

Dalam pada itu, Sivamalar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menjelaskan, rakyat Johor perlu keluar mengundi untuk memastikan perubahan pentadbiran negeri berkenaan dapat diubah.

“Pada tahun 2018, rakyat Johor keluar beramai-ramai dan menggunakan kuasa undi. Mereka membuktikan apabila rakyat hadir, bersuara dan membuat pilihan, perjalanan politik sebuah negeri boleh berubah. Johor mencipta sejarah pada tahun 2018.

“Bawa keluarga dan sahabat yang layak mengundi. Ingatkan mereka, setiap undi adalah sebahagian daripada mandat yang akan menentukan masa depan Johor. Esok, keluarlah sekali lagi. Biar rakyat Johor sendiri menentukan masa depan negerinya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN