MCA sedia bincang tukar kerusi tradisi

MCA sedia bincang tukar kerusi tradisi

CHONG SIN WOON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MCA terbuka untuk membincangkan sebarang cadangan pertukaran kerusi antara parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kelak.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, setakat ini BN belum mengadakan perbincangan mengenai agihan kerusi untuk PRN Negeri Sembilan dan mengakui kelaziman pembahagian dibuat berdasarkan kerusi tradisi setiap parti.

Bagaimanapun, beliau berkata, perubahan komposisi pengundi seperti dibangkitkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan wajar diambil kira dalam menentukan strategi pilihan raya.

“BN belum berbincang mengenai susunan kerusi. Kebiasaannya kita mengambil kira kerusi tradisi.

“Apa yang Tok Mat (Mohamad) cakap memang betul kerana struktur pengundi sudah berubah. Perkara itu boleh dibincangkan, tiada masalah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Mohamad berkata, BN Negeri Sembilan tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran kerusi antara parti komponen bagi meningkatkan peluang kemenangan pada PRN Negeri Sembilan ke-16.

Beliau berkata, pembahagian kerusi tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada tradisi memandangkan komposisi pengundi di banyak kawasan sudah berubah.

Sin Woon berkata, sebarang keputusan mengenai pembahagian kerusi antara parti komponen dalam mana-mana pilihan raya akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi BN.

Beliau berkata, pertukaran kerusi antara parti komponen bukan perkara baharu kerana pernah dilaksanakan sebelum ini mengikut keperluan strategi pilihan raya.

“PRN Johor ada pertukaran kerusi, begitu juga di Pahang sebelum ini. Ia bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya bergantung kepada strategi dan keadaan semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN