MUKADIMAH
Hanya sempat berkhidmat selama dua tahun sembilan bulan sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan namun tempoh singkat itu tidak sedikit pun mematahkan semangat calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Chuah, DATUK YEW BOON LYE untuk kembali menyambung khidmatnya.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA beliau berkata, meskipun penggal lalu tidak dapat disempurnakan, pelbagai isu rakyat berjaya diselesaikan sepanjang beliau bergelar wakil rakyat.
Dalam temu bual itu, Boon Lye turut berkongsi visinya untuk menjadikan Chuah lebih dikenali, khususnya sebagai destinasi pelancongan yang mampu merancakkan ekonomi setempat dan membuka lebih banyak peluang kepada penduduk.

UTUSAN: Menang dalam percubaan pertama memasuki gelanggang pilihan raya pada 2023, apa rekod pencapaian Datuk?
YEW BOON LYE: Tempoh perkhidmatan saya sebelum ini adalah selama dua tahun sembilan bulan, memang cukup pendek. Saya akui memang ia tempoh yang terhad tetapi saya tetap berjaya selesaikan beberapa isu, paling penting adalah tentang gangguan bekalan air.
Sebelum saya menjadi wakil rakyat di sini memang kerap berlaku masalah gangguan dan terputus bekalan air yang sangat serius, hampir setiap bulan berlaku malah kadang-kadang sehingga lebih dua hingga tiga hari.
Ia menjejaskan dan mengganggu urusan penduduk, untuk mandi, memasak. Bidang perniagaan di sini juga terjejas kerana masalah gangguan bekalan air ini.
Selepas saya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Chuah memang saya berikan tumpuan untuk mencari penyelesaian tentang isu bekalan air ini.
Bagaimana situasi terkini masalah gangguan air tersebut?
Saya bersyukur dalam setahun lebih, saya memang bekerja rapat dengan pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), beberapa kali saya ke Loji Rawatan Air Sungai Linggi dan banyak kali kami mencari penyelesaian bersama.
Akhirnya kami dapat atasi masalahnya dan buat masa ini, sudah lebih setahun bekalan air konsisten dan sangat stabil, ia menyenangkan penduduk dan peniaga. Itu pencapaian utama saya. Sebelum ini tidak dapat selesai namun saya berjaya melakukannya.
Apa lagi isu yang membelenggu penduduk di Chuah?
Selepas tahun 2019 apabila sebuah bank tidak lagi beroperasi di sini, memang tiada lagi kemudahan perbankan di Chuah, ia memang memberikan kesukaran kepada peniaga khususnya.
Kemudian saya sendiri membuat permohonan kepada bank, terdapat dua buah bank memberikan respon namun akhirnya pihak Agrobank bersetuju dan telah membuka cawangannya di sini iaitu di pekan Bukit Pelandok, ia banyak membantu dan bawa perubahan di sini.
Apa status projek bina jambatan dan jalan Sungai Sepang menghubungkan Bukit Pelandok-Sungai Pelek serta projek jambatan dan jalan Kuala Lukut ke Chuah?
Kedua-dua projek ini akan memberikan impak besar kepada Chuah, ia akan lebih membuka orang ramai untuk datang ke sini. Projek jambatan Kuala Lukut ke Chuah ini pastinya akan memendekkan masa perjalanan orang ramai.
Projek jambatan menghubungkan Bukit Pelandok-Sungai Pelek juga saya difahamkan sudah sampai ke peringkat akhir iaitu untuk melantik kontraktor. Saya akan pastikan kedua-dua projek ini dapat dilaksanakan segera.
Berada dalam Parlimen Port Dickson yang terkenal sebagai destinasi pelancongan, apa potensi sektor itu di kawasan Chuah?
Sebenarnya sebelum ini saya sudah berbincang dengan beberapa pihak untuk mempromosikan lagi Chuah ini sebagai lokasi pelancongan, ada beberapa strategi telah ditetapkan namun ia terhenti kerana DUN telah dibubarkan. Jika saya dipilih semula pasti perkara ini akan jadi keutamaan saya dan akan menyambung perkara-perkara yang telah dirancang.
Projek memulihara dan menyelenggara Pantai Telok Kemang seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan belanjawan sebelum ini juga pasti memberikan impak kepada kawasan ini yang akan menerima limpahan kehadiran pelancong.
Berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Chuah sudah tentu mempunyai potensi sangat tinggi terutamanya untuk aktiviti ekopelancongan.
Apa potensi lain di Chuah?
Berdasarkan lokasinya termasuk terletak dalam kawasan pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0, Chuah mempunyai banyak potensi lain. Kawasan akan lebih membangun kelak menerusi projek perindustrian di Tanah Merah. Ia akan membuka peluang perniagaan dan mencipta peluang pekerjaan.
Kita sudah boleh nampak potensi itu dan saya cukup yakin sebab itu saya sudah beli rumah dan bermastautin di sini sejak tahun 2018. Itu menunjukkan bahawa saya cukup yakin dengan kawasan ini.
Bagaimana maklum balas daripada penduduk sepanjang tempoh seminggu berkempen?
Saya telah pergi ke beberapa kawasan, nampak respon sangat memuaskan dan saya yakin kalau situasi sebegini berterusan, saya boleh mempertahankan kerusi DUN Chuah.
Sebagai penyandang di kerusi DUN Chuah, apa harapan Datuk kepada pengundi kali ini?
Saya memang mahu berkhidmat membantu penduduk dan komuniti di sini, selesaikan masalah-masalah yang dihadapi mereka. Sejak tahun 2018, kita boleh lihat perubahan yang besar daripada segi pentadbiran dan kewangan di peringkat kerajaan negeri.
Banyak program membantu rakyat turut dilaksanakan. Walaupun berpuluh juta diperuntukkan bagi membantu rakyat tetapi kerajaan negeri masih dapat menambah hasil. Ini menunjukkan kerajaan negeri sangat efisien.
Saya harap pengundi di Chuah dan Negeri Sembilan dapat memilih kerajaan yang lebih baik untuk masa depan negeri, masa depan masing-masing dan generasi masa hadapan. – UTUSAN
INFO GRAFIK
KENALI CALON
PROFIL CALON PH DUN CHUAH
Nama: Datuk Yew Boon Lye
Umur: 55 tahun
Bermastautin: Bukit Pelandok, Port Dickson
Pendidikan: Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Hsing Wu University, Taiwan
Kerjaya: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah
Jawatan politik:
Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan










