BN tidak lindungi skandal, mereka terlibat jenayah

BN tidak lindungi skandal, mereka terlibat jenayah

JOHARI Abdul Ghani ketika hadir memberi sokongan kepada calon BN bagi DUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah Seri Menanti, Kuala Pilah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Barisan Nasional (BN) tidak pernah melindungi mana-mana pemimpin terlibat skandal dan melakukan kesalahan, sebaliknya tindakan tetap diambil mengikut proses undang-undang yang ditetapkan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tuduhan berkaitan skandal yang dimainkan terhadap BN tidak menggambarkan pendirian sebenar parti itu yang sentiasa mengambil tindakan terhadap pemimpin yang didapati bersalah.

Katanya, BN mengambil tindakan tanpa mengira kedudukan seseorang pemimpin termasuk mereka yang pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan.

“Mana-mana parti politik khususnya BN, kalau kita ber­depan dengan pemimpin yang ada skandal, kita ambil tindakan.

“Yang pernah jadi Menteri Besar kita ambil tindakan, yang pernah jadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kita ambil tindakan, yang pernah jadi menteri kita ambil tindakan, yang jadi pengerusi badan perhubungan pun kita ambil tindakan.

“Yang jadi Perdana Menteri pun kalau mahkamah menetapkan dia bersalah, dia tetap akan melalui proses tersebut,” kata­nya ketika berucap pada Minum Pagi di Pusat Daerah Mengundi Kampung Tengah Seri Menanti, Kuala Pilah semalam.

Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, BN bukan sebuah parti yang mempertahankan individu yang melakukan kesalahan.

Katanya, sepanjang lebih 60 tahun mentadbir negara, BN tidak pernah melindungi pen­jenayah, sebaliknya setiap individu yang didapati bersa­lah akan dikenakan tindakan mengikut proses perundangan.

“Selama kita memerintah negara lebih 60 tahun, kita tidak pernah simpan penjenayah. Kalau didapati bersalah, dia akan melalui proses yang ditetapkan.

“Kalau ada pemimpin yang melakukan kesalahan, ambil tindakan. Pergi mahkamah, tidak ada masalah.

“Kita tidak pernah hendak mempertahankan orang yang bersalah. Yang penting, semuanya mesti melalui proses,” katanya.

Sementara itu, Johari ber­kata, orang Melayu dan bumiputera yang merupakan ma­joriti dalam negara ini perlu bertanggungjawab menjaga se­mua kaum termasuk ma­sya­rakat minoriti.

Beliau berkata, Malaysia di­bina sebagai sebuah negara masyarakat majmuk sejak men­capai kemerdekaan dan keharmonian antara kaum perlu terus dipelihara.

Katanya, pemimpin Melayu dan bumiputera perlu memainkan peranan dalam memastikan semua masyarakat mendapat perhatian tanpa mengira latar belakang kaum.

“Saya tak tahu dalam konteks apa dia (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) bercakap. Tetapi negara Malaysia ini, pada mula kita mendapat kemerdekaan, kita ini satu negara yang kita panggil masyarakat majmuk.

“Tetapi majoriti dia orang Melayu. Jadi kalau kita nak jadi pemimpin dalam negara kita ini sebagai orang Melayu, bumiputera yang merupakan majoriti dalam negara Malaysia, kita mesti bertanggungjawab untuk menjaga semua kaum dalam negara, termasuklah ka­um-kaum minoriti ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN