ISKANDAR PUTERI: MCA menafikan senarai nama tular di media sosial melibatkan calon-calon yang didakwa akan bertanding mewakili parti berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Pengerusi MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan senarai nama tersebut yang mungkin dijana menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk menimbulkan kekeliruan.
“Saya menafikan sebarang desas-desus tentang senarai tersebut. MCA tidak pernah keluarkan surat itu, mungkin ia dihasilkan pihak tidak bertanggungjawab. Apabila masuk musim pilihan raya, macam-macam spekulasi dan dokumen palsu akan ditularkan.
“Oleh itu saya seru agar semua pihak mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi sahaja,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai senarai nama calon-calon MCA yang didakwa bakal bertanding dalam PRN Johor akan datang.
Tian Soon yang juga Ketua Pemuda MCA Pusat turut menegaskan bahawa poster tular yang mendakwa Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong bakal bertanding di DUN Skudai juga palsu.
Beliau bagaimanapun memberitahu parti itu telah menyerahkan senarai nama calon-calon di kesemua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan ditandingi mereka.
Katanya, MCA telah kenal pasti senarai nama calon-calon lebih awal dan telah menghantarnya ke kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk membuat tapisan dan keputusan akhir.
“Kami berbincang berasaskan daripada 15 kerusi yang MCA tandingi dalam PRN lalu. Jadi senarai nama dibuat juga berasaskan jumlah kerusi berkenaan. Tetapi keputusan akhir dibuat pucuk pimpinan BN, itu keunikan semangat BN.
Terdahulu, tular satu senarai nama yang didakwa merupakan calon-calon MCA yang akan bertanding dalam PRN Johor tidak lama lagi. – UTUSAN










