MUAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberikan jaminan bahawa tiada pertembungan antara jentera Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, hal itu kerana kedua-dua parti tidak bertanding di kerusi DUN yang sama.
“Pas pun guna logo PN, Bersatu pun guna logo PN. Tiada pihak yang akan keliru kerana Pas dan Bersatu tidak akan bertanding sesama sendiri, tiada clash,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan 11 calon parti itu pada Majlis Pengumuman Calon Pas Johor di Bakri, di sini malam tadi.
Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang khabar angin berlaku kegagalan kerjasama antara Pas, UMNO dan Parti Wawasan Negara menjelang PRN Johor ini, beliau sebaliknya memilih untuk melihat ke depan.
“Saya rasa yang itu saya tidak akan panjangkan kerana apa yang penting sekarang ialah ‘how do we move forward from today’ Itu yang lebih penting kerana cabaran yang ada lebih besar.
“Apa juga boleh berlaku dalam politik. Tidak ada istilah gagal, apa yang setengah pihak melihat gagal, mungkin sebenarnya ada kebaikan di sebaliknya.
“Tidak mustahil mungkin akan mencipta sesuatu perkara yang lebih baik pada masa hadapan. Jadi, tidak ada istilah gagal dalam politik,” katanya mengulas dakwaan ketiga-tiga parti itu akan bekerjasama pada PRN Johor.
Pada masa sama, Ahmad Samsuri turut memberitahu Pas terbuka untuk menerima mana-mana individu termasuklah bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang baharu mengumumkan keluar parti.
“Sama ada mereka ingin menyertai atau membuat pertimbangan yang berbeza. Jadi, pintu Pas sentiasa terbuka kepada mana-mana individu,” katanya.-UTUSAN










