KOTA TINGGI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan tidak boleh dibubarkan dengan mudah atau serta-merta kerana pentadbiran kerajaan negeri perlu mengambil kira proses perundangan dan perlembagaan negeri itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembubaran DUN Negeri Sembilan sebalik perlu melalui prosedur tertentu membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta Undang Luak Yang Empat.
“Sebenarnya saya tidak mahu jawab kerana mahu menjaga hubungan dalam kerajaan Perpaduan, tetapi hakikatnya (pembubaran) tidak boleh berlaku begitu.
“Di Negeri Sembilan, seseorang tidak boleh bertindak sendiri sebaliknya perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Baginda pula tidak boleh bertindak secara bersendirian kerana perlu bersama Empat Undang,” katanya selepas diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang bersedia membubarkan DUN Negeri Sembilan sekiranya Johor berbuat demikian.
Tambah Menteri Pertahanan itu, sebarang keputusan berkaitan pembubaran DUN Negeri Sembilan memerlukan persetujuan bersama Yang di-Pertuan Besar dan Undang Luak Yang Empat.
“Kalau empat Undang dan Yang di-Pertuan Besar bersetuju, maka baharu boleh berlaku pembubaran. Tetapi jika tidak ada persetujuan itu, maka tidak akan berlaku PRN di Negeri Sembilan,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan pembubaran DUN Johor bagi membolehkan PRN berlaku dalam tempoh 60 hari agar rakyat memilih parti politik yang akan mentadbir kerajaan negeri akan datang.
Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, sekaligus berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.










