Jenazah empat mangsa nahas Simpang Renggam dikebumi satu liang lahad

Jenazah empat mangsa nahas Simpang Renggam dikebumi satu liang lahad

JENAZAH empat sekeluarga yang maut dalam nahas di Simpang Renggam, Johordikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Jenazah empat sekeluarga yang maut dalam nahas di Simpang Renggam, Johor dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini, hari ini.

Jenazah Mohd. Aiman Mohd. Rashid, 36, dan isterinya, Nor Azlina Abd. Latif, 33; ibu mentuanya, Semek Mat Soh, 73, dan anak saudaranya, Nur Airish Syifa Sidek, 10, dikebumikan kira-kira pukul 10.40 pagi.

Keempat-empat jenazah yang dibawa pulang dari Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom tiba di Masjid Sultan Mahmud Bandar Al Muktafi Billah Shah, kira-kira pukul 8.35 pagi. Solat jenazah yang disertai lebih 100 jemaah itu dipimpin oleh Imam Maliki Saidi.

Suasana sayu di tanah perkuburan yang dihadiri lebih 200 kenalan dan ahli keluarga apabila ada hadirin dilihat tidak dapat menahan sebak dan sedih dengan kehilangan insan kesayangan mereka.

Keempat-empat jenazah dikebumikan bersebelahan dengan kubur arwah bapa Mohd. Aiman, iaitu Mohd. Rashid Dolah yang meningga dunia dua minggu lalu.

Kejadian kira-kira pukul 1 petang semalam meragut nyawa empat sekeluarga itu selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Jalan Renggam-Simpang Renggam berhampiran Penjara Simpang Renggam, Johor.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN