JOHOR BAHRU: Keputusan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah tepat pada masanya demi kesejahteraan rakyat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya PRN diadakan lebih lewat iaitu pada hujung tahun, dibimbangi berdepan risiko susulan musim hujan dan banjir yang lazim berlaku di beberapa daerah.
“Akhir tahun kebiasaannya adalah musim hujan dan banjir, manakala awal tahun pula rakyat akan menyambut kedatangan Ramadan dan Aidilfitri. Orang Johor biasanya sambut raya dalam tempoh panjang.
“Johor hanya tinggal beberapa bulan sebelum tamat penggal pada April depan. Jadi sekiranya dirasakan sesuai (bubar DUN dan adakan PRN), buatlah, kembalikan mandat kepada rakyat. Rakyat suka apabila ada raya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang, di sini hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, pihaknya yakin pelaksanaan PRN Johor tidak akan menjejaskan hubungan dan kerjasama antara parti di dalam kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.
“Kerajaan Perpaduan masih ada, tetapi kena terima hakikat bahawa keadaan politik sekarang tidak sama seperti dahulu. Dalam politik sekarang tidak mungkin ada mana-mana parti yang mendominasi.
“Jadi mungkin di pusat kerajaannya Perpaduan, di negeri lain kerajaan Barisan Nasional (BN), di Melaka kerajaan negeri ada DAP, jadi begitulah keadaannya pelbagai di negeri-negeri. Jadi persoalannya bagaimana hendak bangunkan sikap dalam kalangan rakyat yang boleh terima politik mendatang seperti ini,” katanya.
Semalam, Onn Hafiz memaklumkan pembubaran DUN Johor sekaligus membolehkan proses demokrasi melibatkan PRN berlaku dalam tempoh 60 hari sebelum rakyat kembali memilih parti politik yang akan mentadbir kerajaan negeri akan datang.










