Anak angkat Norish Karman perbetul salah faham mengenai keluarga - Utusan Malaysia

Anak angkat Norish Karman perbetul salah faham mengenai keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas keluarganya terus menjadi sasaran kecaman, anak angkat pelakon Norish Karman tampil memberikan penjelasan berhubung beberapa dakwaan yang menurutnya telah disalahertikan oleh orang ramai.

Iqmal atau Iqmal Firdaus, menjelaskan isu berhubung wang RM200,000 yang tular sebelum ini dan menafikan tanggapan bahawa anak-anak Norish tidak bekerja dan hanya bergantung kepada bantuan.

Katanya, Norish sebenarnya tidak pernah menerima wang berjumlah RM200,000 seperti yang didakwa sesetengah pihak. Namun, perkara itu timbul selepas usahawan Aliff Syukri mengajukan satu soalan berbentuk andaian ketika sesi rakaman audio siar.

“Untuk pengetahuan semua, bunda saya tidak dapat pun RM200, 000 tersebut. Itu sebenarnya soalan yang diajukan oleh Datuk Aliff Syukri kepada beliau ketika sesi rakaman.

“Jika mendapat RM200,000, apa yang mahu dilakukan? Jawapan yang diberikan pula adalah spontan berdasarkan soalan yang ditanya,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Dalam pada itu, Iqmal turut menjawab dakwaan segelintir individu yang melabel anak-anak Norish sebagai malas dan tidak bekerja.

“Bunda dan anak-anak mengusahakan perniagaan makanan dan minuman. Kami juga terlibat dalam festival makanan, perkhidmatan katering serta beberapa jenama perniagaan lain.

“Anak sulung, Armany, bekerja di pejabat dari pukul sembilan pagi hingga enam petang manakala kami turut membantu menguruskan pelbagai urusan keluarga dan perniagaan yang dijalankan,” jelasnya.

Tambahnya, anak perempuan Norish yang dikenali sebagai Manda pula kini memberi tumpuan kepada keluarga dan masih meneruskan pengajian.

“Manda ketika ini menguruskan adik-adiknya dan menjaga bunda. Pada masa sama, dia juga masih menyambung pelajaran.

“Jadi, mereka punya kesusahan ini tidak akan nak diceritakan semua. Apa yang umum perlu tahu boleh dikongsikan,” ujarnya.

Mengulas mengenai kemunculan Norish dalam audio siar berkenaan, Iqmal berkata, sesi tersebut menjadi medium untuk keluarganya menjelaskan keadaan sebenar selepas isu berkenaan tular.

“Bunda saya dijemput oleh pihak media untuk sesi audio siar tersebut. Selepas isu itu tular, platform itu menjadi medium untuk menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku.

“Bunda tidak memburukkan sesiapa. Malah, beliau sentiasa bersyukur kerana masih ada insan yang sudi membantu keluarga kami.

“Saya minta maaf bagi pihak bunda dan adik-adik saya jika kami ada terkasar bahasa dan tingkah laku. Jaga kata-kata anda dan Insyaallah yang baik2 saja untuk kita semua. Terima kasih,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN