SEREMBAN: Sokongan DAP Negeri Sembilan supaya Datuk Seri Aminuddin Harun kekal sebagai Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya negeri (PRN) akan datang adalah bertentangan dengan perjuangan gabungan parti politik itu untuk mengehadkan tempoh memegang jawatan bagi pemimpin utama kerajaan.
Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan, Siow Kong Choon berkata, walaupun usul mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar belum dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dijadikan undang-undang, ia adalah antara pendirian penting gabungan parti politik itu bagi menarik sokongan rakyat.
Namun kini, katanya, pendirian itu telah berubah dengan DAP sendiri menyokong Menteri Besar selama dua penggal itu meneruskan jawatan berkenaan untuk penggal yang ketiga.
“Apakah PH benar-benar serius untuk mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar kepada dua penggal sahaja atau hanya ingin mempermainkan rakyat yang teruja dengan janji supaya seseorang individu tidak memegang jawatan terlalu lama?
“Sila nyatakan pendirian sekarang supaya rakyat tidak lagi ditaburkan dengan janji manis berkaitan tempoh masa memegang jawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendirian DAP Negeri Sembilan menerusi pengerusinya, Anthony Loke Siew Fook untuk menyokong Aminuddin sebagai Menteri Besar bagi penggal yang ketiga selepas PRN kelak.
Aminuddin yang memenangi kerusi DUN Sikamat dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas PH menang di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Pengerusi PH Negeri Sembilan itu sekali lagi dilantik sebagai Menteri Bear untuk penggal kedua selepas PH dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerjasama Kerajaan Perpaduan menang sebanyak 31 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
Usul untuk mengehadkan jawatan Menteri Besar kepada dua penggal itu pernah di bawa ke DUN pada 2021 namun gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga ADUN.
Pada Mac tahun lalu, kerajaan negeri sekali lagi menyatakan kesediaan membawa usul tersebut ke DUN namun tidak menjadi kenyataan sehingga hari ini. – UTUSAN










