PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang meletakkan jawatan dalam kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, beliau mengenali Chean Chung sejak sekian lama, termasuk ketika wakil rakyat itu berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di Parlimen.
Menurut beliau, sepanjang mengikuti perjalanan Chean Chung dalam parti, beliau tidak melihat sebarang perubahan ketara dalam landasan perjuangan PKR seperti dibangkitkan wakil rakyat berkenaan.
“Saya cuma kesal beliau tidak bersama untuk menyampaikan pandangan.
“Dalam Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, ada ramai pimpinan yang sering kali tidak mempunyai pandangan sama,” katanya dalam sidang media mingguan, hari ini.
Fahmi berkata, perbezaan pandangan dalam parti sepatutnya dibawa melalui saluran dalaman yang tersedia, termasuk menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat.
Beliau memberi contoh pemimpin PKR, Elizabeth Wong Keat Ping yang tetap menggunakan platform parti untuk menyatakan pendirian walaupun mempunyai pandangan berbeza dengan pimpinan lain.
Katanya, Chean Chung juga perlu memberi penjelasan kepada pengundi dan anggota parti berhubung keputusan tersebut.
Mengulas dakwaan Chean Chung berhubung tekanan parti termasuk sekatan akses MyKhas, Fahmi berkata, perkara itu boleh dibincangkan secara dalaman.
“Dalam apa-apa perkara, datang berbincanglah. Tak menjadi isu. Malah saya boleh nyatakan, saudara Chean Chung ada berhubung dengan saya tetapi tidak bangkitkan isu ini,” katanya.
Fahmi berkata, beliau bersedia untuk berbincang sekiranya Chean Chung mahu membangkitkan sebarang perkara berkaitan parti.
“Jadi, nak seribu daya, tak nak seribu dalih,” katanya.
Utusan Malaysia melaporkan, Chean Chung meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, hari ini, selepas 18 tahun menyertai parti itu.
Bagaimanapun, Chean Chung berkata, beliau kekal sebagai anggota PKR dan akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen sehingga Parlimen dibubarkan.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas lapan tahun menyandang jawatan di peringkat pusat parti. – UTUSAN










