KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengesahkan akan bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan susulan keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan PH yang mengumumkan hasrat meletakkan calon di semua kerusi DUN menyebabkan BN tidak mempunyai pilihan selain bergerak solo pada pilihan raya berkenaan.
“Di Negeri Sembilan, BN pasti bergerak secara solo kerana PH sudah mengumumkan akan bertanding di kesemua 36 kerusi. Ini bermakna mereka akan meletakkan calon di semua kawasan Dewan Undangan Negeri.
“Kita tidak ada pilihan lain selain terpaksa bertanding secara solo,” katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan PH akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan pada PRN negeri itu.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, gabungan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) itu telah memuktamadkan pembahagian kerusi yang akan ditandingi oleh setiap parti komponen.
Menurut Aminuddin, keputusan untuk bertanding di semua kerusi dibuat bagi memastikan PH terus kekal sebagai kuasa dominan dan mempertahankan pentadbiran negeri selepas pembubaran DUN Negeri Sembilan. – UTUSAN










