Rumah Bangsa jadi kekuatan baharu politik Melayu - Mohamed Khaled

Rumah Bangsa jadi kekuatan baharu politik Melayu – Mohamed Khaled

MOHAMED Khaled Nordin berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO, di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini. UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gagasan Rumah Bangsa bakal menjadi platform besar untuk memusatkan kekuatan politik Melayu secara menyeluruh.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, konsep itu membawa dimensi lebih luas apabila menjadikan UMNO bukan hanya sebuah parti politik, malah sebagai wadah utama yang menghimpunkan idea, kepakaran dan aspirasi bangsa Melayu.

Menurut beliau, Rumah Bangsa berperanan sebagai medan terbuka kepada semua orang Melayu, tanpa mengira keahlian untuk menyumbang kepada pembangunan dan masa depan bangsa.

“Rumah Bangsa itu adalah idea menonjolkan UMNO itu lebih besar daripada hanya sebuah parti politik… ia boleh menjadikan UMNO sebagai wadah memusatkan politik Melayu menjadi nadi dan pemandu utama,” katanya berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, gagasan tersebut juga bertujuan menyatukan suara Melayu dalam satu platform yang lebih tersusun bagi memastikan kepentingan politik, ekonomi dan sosial dapat diperjuangkan secara lebih berkesan.

Katanya, tanpa kesatuan dan pemusatan politik yang jelas, kepentingan bangsa berisiko terhakis secara berperingkat.

“Tidak mungkin kepentingan politik bangsa dapat diketengahkan tanpa kekuatan politik… tambahan lagi jika tiada kesatuan suara dan iltizam,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kritikan di media sosial semata-mata tidak mencukupi untuk membina kekuatan bangsa tanpa disokong gerakan politik yang tersusun dan berautoriti.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, UMNO perlu tampil dengan imej baharu yang lebih segar, sederhana dan inklusif selaras dengan konsep Rumah Bangsa yang merentas ideologi serta latar belakang.

“UMNO mesti menampilkan imej baharu yang lebih segar, kontemporari dan lebih muda… rumah bangsa adalah milik semua tanpa syarat selagi tidak menyalahi prinsip perjuangan parti,” katanya.

Tambahnya, pendekatan itu turut menjadi strategi membezakan UMNO daripada gabungan politik lain kerana ia bukan sekadar kerjasama politik, sebaliknya satu usaha membina institusi induk bagi orang Melayu.

Katanya, UMNO juga perlu mengiktiraf bahawa banyak idea dan kepakaran berada di luar parti, justeru Rumah Bangsa berperanan menghimpunkan semua kekuatan tersebut di bawah satu bumbung.

“UMNO mesti menerima hakikat bahawa banyak idea unggul berada di luar lingkungan parti dan semua ini perlu dipusatkan di bawah satu penggerak utama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×