JOHOR BAHRU: Keputusan sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan sebelum atau selepas PRN Melaka bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang juga Sultan Johor.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi apabila tiba masanya kelak.
“Saya akan berbincang (tentang PRN Johor) dengan Menteri Besar Johor setelah mendapat perkenan daripada Tuanku berdua.
“Pertemuan dengan Tuanku (pagi tadi) tidak sentuh langsung mengenai perkara itu (pilihan raya), sebaliknya ia peristiwa yang sangat signifikan kepada UMNO sempena ulangtahun ke-80 UMNO, kita tahu bahawa penubuhan parti ini telah dibuat di Istana Besar Johor pada 11 Mei 1946,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan barisan kepimpinan UMNO lain.
Sementara itu, mengulas tentang mesyuarat MKT UMNO yang diadakan, Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu, ia merupakan satu mesyuarat MKT biasa yang membincangkan pelbagai isu-isu nasional.
“Mesyuarat MKT juga banyak membincangkan isu-isu nasional yang besar,” katanya lanjut.
Pagi tadi, Sultan Ibrahim bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima menghadap barisan kepimpinan tertinggi UMNO di Istana Besar Johor sempena sambutan ulangtahun ke-80 parti itu, di sini hari ini.
Baginda berdua turut berkenan mengambil gambar bersama kepimpinan parti itu di Tangga Selat, Istana Besar Johor sebagai simbolik meraikan tertubuhnya parti tersebut di istana berkenaan pada 11 Mei 1946.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendaftaran ahli baharu secara atas talian yang dimulakan UMNO telah merekodkan pendaftaran seramai 16,867 keahlian baharu.
“Selepas 20 hari dilancarkan, kita telah terima permohonan keahlian baharu mencecah 16,867 dengan 71 peratus daripadanya terdiri daripada anak muda,” katanya.










