Johor jadi 'kayu ukur' politik negara - Utusan Malaysia

Johor jadi ‘kayu ukur’ politik negara

JIMMY PUAH Wee Tse melihat perkembangan sistem perparitan yang dalam pembinaan ketika meninjau kerja-kerja di Kampung Baru Ban Foo, Ulu Tiram, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor dilihat sebagai ‘kayu ukur’ politik negara apabila pelbagai parti politik mula memberi tumpuan di negeri ini untuk mengukur kekuatan dan sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, faktor itu menyebabkan banyak parti politik mahu bertanding di negeri ini termasuk parti-parti baharu yang dijangka turut terlibat dalam PRU akan datang.

“Johor ini istimewa, rakyatnya ada semangat Bangsa Johor dan lebih progresif. Sebab itu ramai parti politik mahu bertanding di sini. Pilihan raya pula adalah asas kepada parti politik. Kalau tubuh parti tetapi tidak mahu bertanding, lebih baik jadi NGO,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Kampung Baru Ban Foo, Ulu Tiram di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli yang mengumumkan parti baharu iaitu Parti Bersama Malaysia (Bersama), Ahad lalu.

Sementara itu, Wee Tse yang juga Ahli Parlimen Tebrau berkata, sebarang kerjasama politik menjelang pilihan raya akan diputuskan di peringkat pusat, namun PKR dan Pakatan Harapan (PH) Johor sedia hadapi sebarang kemungkinan termasuk pertandingan pelbagai penjuru.

“Suka atau tidak, kalau di negeri kita berlawan tetapi di Persekutuan masih bekerjasama dalam kerajaan, ia boleh menggugat elemen kepercayaan. Bayangkan dalam Kabinet, semalam kita berlawan, hari ini duduk semeja berbincang. Sudah tentu akan timbul pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut berkata pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak dengan PRU akan datang mampu menjimatkan kos kerajaan selain mengurangkan keletihan politik dalam kalangan rakyat.

“PRN Johor pada 2022 menelan kos hampir RM150 juta dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga RM200 juta sekiranya pilihan raya diadakan berasingan. Kalau buat sekali, kita boleh jimat banyak kos. Rakyat pun tidak penat asyik keluar mengundi dalam tempoh singkat.

“Pilihan raya juga memberi kesan kepada produktiviti dan keyakinan pelabur. Bila terlalu kerap pilihan raya, pelabur akan tunggu dan lihat keadaan politik dahulu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN