NEW DELHI: Harga minyak mentah yang meningkat susulan krisis Asia Barat mencetuskan kenaikan harga bahan api di seluruh Asia Selatan dan Asia Tenggara, dengan India serta Kemboja antara negara terbaharu menaikkan harga petrol dan diesel minggu ini di tengah kebimbangan inflasi.
Di India, harga petrol dan diesel dinaikkan sekali lagi pada Selasa, apabila syarikat pemasaran minyak milik kerajaan menaikkan kadar sekitar 90 paisa seliter (kira-kira 1 sen AS), menurut laporan The Indian Express.
Kenaikan terbaharu itu berlaku hanya lima hari selepas harga bahan api dinaikkan sebanyak 3 rupee seliter (RM0.12 sen). Ia merupakan kenaikan pertama dalam tempoh lebih empat tahun dan menjadikan jumlah peningkatan hampir 4 rupee seliter (RM0.16 sen) sepanjang bulan ini.
Di Delhi, harga petrol kini mencecah 98.64 rupee seliter (RM4.05) manakala diesel berharga 91.58 rupee (RM3.76). Di Mumbai dan Bengaluru pula, harga petrol melepasi 107 rupee seliter (RM4.39).
Syarikat minyak India berkata, kenaikan itu didorong oleh lonjakan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa serta kerugian yang meningkat dalam jualan bahan api domestik, berikutan ketegangan di sekitar Selat Hormuz yang menimbulkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan.
Pegawai memberitahu penyiar NDTV, peruncit milik sektor awam India iaitu Indian Oil, Bharat Petroleum dan Hindustan Petroleum menanggung kerugian besar dengan mengekalkan harga runcit walaupun kos import meningkat.
Anggaran industri menunjukkan syarikat-syarikat berkenaan secara kolektif mengalami kerugian lebih AS$120 juta sehari (RM477 juta) sebelum semakan harga terbaharu dilaksanakan.
Sementara itu, Kemboja turut menaikkan harga bahan api susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global, menurut Phnom Penh Post.
Di bawah harga baharu, petrol biasa meningkat daripada sekitar AS$1.28 (RM5.09) kepada AS$1.35 (RM5.37) seliter, manakala diesel naik daripada kira-kira AS$1.13 (RM4.49) kepada AS$1.15 seliter (RM4.57).
Pihak berkuasa Kemboja berkata, kenaikan itu mencerminkan harga minyak antarabangsa yang lebih tinggi serta kebimbangan terhadap gangguan laluan bekalan minyak mentah global yang dikaitkan dengan konflik di Asia Barat.
Memandangkan Kemboja mengimport hampir semua keperluan bahan apinya, harga domestik negara itu kekal sangat sensitif terhadap turun naik pasaran global, menurut laporan akhbar berkenaan.- ANADOLU









