Pelan Rangsangan Ekonomi Terengganu tangani impak negatif krisis bahan api 

Pelan Rangsangan Ekonomi Terengganu tangani impak negatif krisis bahan api 

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pemberian insentif sebanyak RM100 kepada pesawah untuk setiap tan metrik padi yang dikeluarkan mereka adalah antara inisiatif terkandung dalam Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi Negeri Terengganu Fasa 1, bagi menangani impak negatif krisis bahan api ekoran konflik Asia Barat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi pengeluaran padi melebihi 10 tan metrik pula, insentif maksimum sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap pesawah.

“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 4,513 pesawah dengan jumlah peruntukan RM3 juta,” katanya hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri, pelan itu diperkenal susulan tekanan ekonomi global akibat krisis Asia Barat yang mana krisis melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan sekutunya memberi kesan besar kepada ekonomi negara terutama menerusi peningkatan kos bahan api, logistik serta insurans.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pengeluar dan peniaga terpaksa menanggung kos operasi lebih tinggi sekali gus berpotensi mendorong kenaikan harga barangan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Bagi menangani krisis ini, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi, menyokong kelangsungan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana serta membantu aktiviti pengeluaran padi,” katanya.

Inisiatif-inisiatif lain yang diperkenalkan adalah:

* Membuat penilaian semula Jadual Kadar Harga (JKH) bagi bahan binaan terpilih dan penyelarasan kos kontrak dilaksanakan dengan mengambil kira perubahan kos semasa bahan binaan yang terlibat.

* Penumpuan kepada pelaksanaan projek kecil yang berimpak tinggi dan 𝘭𝘰𝘸-𝘩𝘢𝘯𝘨𝘪𝘯𝘨 𝘧𝘳𝘶𝘪𝘵.

* Pemberian moratorium kepada peminjam di bawah Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) selama tujuh bulan  sehingga Disember 2026. Inisiatif ini dijangka memberikan manfaat kepada 783 peminjam dengan nilai pinjaman tidak dikutip berjumlah RM2.1 juta. Kerajaan Negeri turut bersetuju menambah saiz dana sebanyak RM2 juta pada t2026 agar lebih ramai usahawan dapat dibantu.

* Pemberian moratorium kepada peminjam di bawah Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) bermula Mei 2026 hingga April 2027. Inisiatif ini melibatkan nilai pinjaman tidak dikutip berjumlah RM 2.9 juta dengan bilangan penerima manfaat seramai kira-kira 400 orang peminjam.

Ahmad Samsuri berkata, Belanjawan 2026 akan dibuat penyelarasan semula berdasarkan keperluan dan strategi yang lebih bersasar ke arah pengukuhan ekonomi.

“Diharapkan inisiatif ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pemain-pemain dalam sektor-sektor terlibat. Kerajaan negeri terus berusaha  memastikan keseluruhan rakyat terus dibantu dan keadaan ekonomi kembali pulih kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN