Nik Muhammad Zawawi mengesahkan perkara tersebut menerusi satu hataran yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya.

Hina sahabat Rasulullah: Ahli Parlimen Pasir Puteh beri keterangan kepada Jaheaik

NIK Muhammad Zawawi Salleh (kiri) semasa hadir memberikan keterangan berhubung kenyataan beliau menghina sahabat Nabi di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-IHSAN NIK MUHAMMAD ZAWAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) sudah merakam keterangan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menghina sahabat Nabi Muhammad SAW hari ini.

Nik Muhammad Zawawi mengesahkan perkara tersebut menerusi satu hataran yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya.

“Hadir memberi kerjasama,” tulisnya hari ini.

Sementara itu, Sumber Jaheaik berkata, tokoh berkenaan dipanggil bagi melengkapkan siasatan bersabit kenyataan yang dibuat sebelum ini.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan kerana memutar belit ajaran Islam dan Seksyen 30 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan kata-kata yang boleh memecahkan keamanan.

“Selain itu, kertas siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 120 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) kerana mencerca agama.

“Ahli Parlimen Pasir Puteh itu memberi keterangan lebih satu jam sehingga pukul 11.40 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, Nik Muhammad Zawawi dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup yang keji sebelum memeluk Islam.

Antara lain beliau mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang ‘bapa ceti’ yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliyah, Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.

Utusan Malaysia 19 Mei lalu melaporkan, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegaskan, kisah silam tokoh-tokoh Islam ketika zaman jahiliah tidak wajar diungkit kerana Islam sendiri menghapuskan dosa serta sejarah lampau seseorang selepas memeluk agama itu.

Beliau berkata, Allah sudah memadamkan segala kisah silam seseorang mualaf sebaik sahaja individu itu mengucap dua kalimah syahadah sehingga dijanjikan syurga sekiranya meninggal dunia selepas memeluk Islam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN