Israel dakwa 430 aktivis flotila Gaza dipindahkan ke Israel

Israel dakwa 430 aktivis flotila Gaza dipindahkan ke Israel

flotila
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Pihak berkuasa Israel memaklumkan seramai 430 aktivis yang berada di atas flotila bantuan menuju Gaza sedang dibawa ke Israel selepas kapal mereka dipintas di laut.

Flotila Global Sumud (GSF)  yang belayar dari Turkiye minggu lalu merupakan siri terbaharu cubaan aktivis untuk menembusi sekatan Israel ke atas wilayah Palestin itu, selepas konvoi terdahulu dipintas tentera Israel bulan lalu.

“Satu lagi flotila propaganda sudah berakhir. Kesemua 430 aktivis telah dipindahkan ke kapal Israel dan sedang dalam perjalanan ke Israel, di mana mereka boleh bertemu wakil konsular masing-masing.

“Flotila ini sekali lagi membuktikan bahawa ia tidak lebih daripada aksi propaganda demi kepentingan Hamas,” kata jurucakap Kementerian Luar Israel lewat Selasa.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum itu menyifatkan flotila berkenaan sebagai rancangan berniat jahat yang direka untuk memecahkan sekatan yang kami kenakan terhadap pengganas Hamas di Gaza.

Amerika Syarikat (AS) pada Selasa turut mengenakan sekatan terhadap empat individu yang dikaitkan dengan flotila Global Sumud dan menuduh mereka sebagai pro-pengganas.

Kira-kira 50 kapal berlepas dari barat daya Turkiye pada Khamis lalu. Laman web yang menjejaki lokasi flotila Iitu kemudian menunjukkan beberapa kapal dipintas di barat Cyprus.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia berkata, sembilan rakyat negara itu yang menyertai flotila berkenaan semuanya dilaporkan ditahan Israel, berdasarkan maklumat sehingga Rabu.

Indonesia menggesa Israel segera membebaskan semua kapal dan kru, sambil menegaskan setiap saluran diplomatik dan langkah konsular akan terus digunakan sepenuhnya.

Akhbar Indonesia, Republika, sebelum ini melaporkan dua wartawannya antara sembilan rakyat Indonesia yang ditahan.

Turkiye dan Sepanyol mengecam tindakan pemintasan tersebut. Penganjur berkata, armada itu turut disertai 15 warga Ireland termasuk Margaret Connolly, adik kepada Presiden Ireland, Catherine Connolly.

Cubaan sebelum ini dipintas bulan lalu di perairan antarabangsa berhampiran Greece, dengan kebanyakan aktivis dihantar pulang ke Eropah.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN