GOMBAK: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengesan pemilik syarikat kenderaan perdagangan menggunakan `pelekat khas’ pada lori dan treler bagi mengelak tindakan penguatkuasaan dalam Ops Khas Kenderaan Perdagangan.
Taktik berkenaan dipercayai sebagai ‘penanda’ tertentu kononnya kenderaan terbabit mempunyai keistimewaan atau hubungan dengan pihak tertentu supaya terlepas daripada pemeriksaan dan tindakan.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan mengaburi mata penguat kuasa, malah tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya serta syarat permit ditetapkan.
Op Khas Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan secara bersepadu itu memberi tumpuan terhadap kesalahan lebih muatan, pelanggaran syarat permit, isu teknikal kenderaan serta aspek keselamatan pengguna jalan raya.
Jelasnya, pelekat terbaharu itu dikesan dicetak berwarna putih dan emas serta mempunyai lambang tertentu sebagai isyarat kepada pihak berkaitan.
“Pelekat tersebut dipercayai dikeluarkan oleh ‘tonto’ sebelum diberikan kepada pemilik syarikat dengan bayaran tertentu.
“Sekiranya mereka melalui kawasan tertentu, tonto-tonto ini akan memaklumkan kepada pemandu lori sekiranya terdapat kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguatkuasaan Gombak, JPJ, Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Kata Muhammad Kifli, berdasarkan statistik penguatkuasaan dari tahun 2024 hingga April lalu, sebanyak 2.58 juta kenderaan perdagangan telah diperiksa di seluruh negara membabitkan pelbagai kategori kesalahan lebih muatan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 415,846 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 45,986 notis saman JPJ(P)22 dikeluarkan pada tahun 2024 sebelum meningkat kepada 57,174 notis pada tahun lalu.
“Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, sebanyak 14,885 notis telah dikeluarkan atas kesalahan sama.
“Selain tindakan saman, JPJ turut melaksanakan sitaan terhadap 753 kenderaan yang melanggar syarat permit dan peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat,” katanya.
Tambahnya, antara negeri yang merekodkan jumlah sitaan tertinggi ialah Pulau Pinang dengan 133 sitaan, diikuti Selangor (125 sitaan) dan Pahang (101 sitaan).
Dalam pada itu, Muhammad Kifli menegaskam, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara agresif menerusi operasi berfokus.
“Pemantauan berterusan serta penggunaan teknologi penguatkuasaan semasa bagi meningkatkan “Perception of Being Caught” (POBC) dalam kalangan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan.
“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang serta mengabaikan aspek keselamatan jalan raya akan dikenakan tindakan tegas tanpa sebarang kompromi,” katanya. – UTUSAN










